Budiey nak ucapkan tahniah kepada PU Hafiz kerana telah berjaya mendapat markah paling tinggi dan dinobatkan sebagai juara Pencetus Ummah musim pertama. Hafiz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafiz Mohd Haneefa merupakan peserta dari Selangor. Selama tujuh minggu program Pencetus Ummah berlangsung di Pusat Konvensyen, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Kajang, Selangor.
Hafiz, 32, memilih tajuk Pendakwah: Untung Dunia, Untung Akhirat sebagai tazkirah untuk pusingan pertama, manakala tajuk Kehidupan Rasulullah Sehingga Kewafatannya bagi pusingan kedua dengan tema cinta Rasulullah.
Hafiz berjaya menyampaikan tazkirah dan menjawab soalan yang diajukan dengan lancar dan mendapat pujian daripada juri tetap pada kedua-dua pusingan. Dia turut berjaya membawa pulang sebuah kereta Prius C, wang tunai berjumlah RM50,000, pakej umrah untuk dua orang, pakej percutian halal ke China dan sebuah trofi.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Shahrul Hamid dengan membawa pulang wang tunai RM30,000. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Mohamed Zaini dan keempat Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan, masing-masing membawa RM10,000.
Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas Astro, Tun Zaki Tun Azmi; Ketua Pegawai Kewangan Astro, Rozaini Mohd Sani dan Ketua Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh. Tiga juri tetap yang mengadili para peserta terdiri daripada Datuk Ustaz Hassan Mahmud, Ustaz Kazim Elias, dan Habsah Omar (Abby Fana).
Datuk Aznil Hj Nawawi bertindak sebagai juri jemputan. Mimbar Akhir Pencetus Ummah dimeriahkan oleh persembahan nyanyian daripada artis popular seperti Aris Ariwatan, Hijaz dan pengacara undangan Fahrin Ahmad.
Program itu dihoskan oleh Ustaz Dr Ridhuan Tee Abdullah dan disiarkan secara langsung di Astro Oasis. Selain itu, beberapa selebriti turut hadir bagi menyaksikan program akhir ini antaranya Rozita Che Wan, Heliza Helmi, Ayu Raudah, Datuk Ramli MS, Ashraf Muslim, Siti Nurdiana, Nubhan dan Yatt Hamzah.