PROGRAM Cafe Akhil Hayy yang disiarkan di Astro Oasis saluran 106 dan sudah memasuki musim ketiga tidak akan disambung semula kerana menghadapi kemelut dua isu yang membabitkan dua personaliti, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, pihaknya akan menimbang semula keputusan itu selepas kedua-dua isu yang membabitkan teraju utama program itu, Akhil Hayy dan seorang lagi pelakon selesai.
Di samping itu, pihaknya juga perlu mendapat maklum balas penonton sama ada mahu program itu diteruskan.
“Memang Oasis tidak menghukum Akhil Hayy tetapi memberi laluan kepadanya untuk menyelesaikan semua masalah membabitkan rumah tangganya. Isu kedua membabitkan salah seorang pelakon program itu yang kini sedang menjalani tindakan undang-undang selepas ditangkap pihak berkuasa di atas kesalahan yang dilakukan. Sebaik masalahnya sudah selesai kita akan lihat kembali dan membuat penilaian daripada maklum balas penonton kerana mereka berhak memberi pandangan bagi memastikan saluran Oasis menjadi pilihan ramai,” katanya yang tetap menyiarkan beberapa slot Akhil seperti tazkirah, doa dan zikirullah.
Menurut Izelan, Oasis adalah saluran berbayar dan pihaknya berhak menerima pandangan penonton sama ada patut diteruskan program itu atau pun diberhentikan.
“Kita harus peka dengan program kita dan reaksi serta maklum balas penonton harus diambil kira. Astro mempunyai unit yang mengendalikan kajian terhadap pandangan penonton dan itu adalah hak mereka. Selama ini Oasis memberi laluan kepada orang yang berada di atas pentas untuk membawa imej Oasis ke jalan kebaikan dan seharusnya mereka kena pandai menjaga nama baik Oasis,” katanya. [sumber]