Seorang suami yang berpoligami, pelakon dan pegamal perubatan Islam, Ashraf Muslim memberitahu dia punya cara tersendiri dalam menjalankan tanggungjawabnya membahagikan masa dan berlaku adil terhadap kedua-dua isterinya, iaitu Noor Dayana dan Sakinah. Begitupun pelakon yang popular menerusi watak Ustaz Amirul ini akui beliau tidak selalu ada kesempatan untuk mempertemukan kedua-dua isterinya itu kerana mereka sibuk dengan kerja masing-masing.
Ashraf Muslim berkata semasa ditemui pada acara post-party Anugerah Industri Muzik (AIM20) di Stadium Putra Bukit Jalil, malam Sabtu lalu.
“Ada orang kata beristeri seorang pun dah susah (besar tanggungjawab). Kalau beristeri dua lagi susah. Tapi Alhamdulillah, saya ada cara saya sendiri untuk memastikan dua-dua dapat hak masing-masing. Hubungan Dayana dan Sakinah baik. Tiada apa-apa masalah. Cuma mereka susah nak berjumpa selalu sebab masing-masing sibuk. Sakinah ada kerja dia. Dayana pun ada kerja dia. Tapi hidup kami bertiga sekarang semakin bahagia.”
Tambah Ashraf, memang pada awal berita tentang beliau berpoligami tersebar, sebilangan masyarakat termasuk peminatnya susah untuk menerima keputusan tersebut. Namun kini keadaan sudah berubah apabila ramai yang semakin menerima keluarganya.
Lebih membahagiakan Ashraf, Sakinah kini sedang hamil lima bulan dan beliau bakal menimang cahaya mata pertama sekitar April 2014.
“Alhamdulillah, usia kandungan Sakinah dan masuk lima bulan. Saya teruja dan saya juga sekarang dalam proses pembelajaran. Tak pernah ada pengalaman jadi bapa, jadi saya berlajar lah sikit-sikit sebagai persediaan. Sakinah pun tak banyak kerenah. Dia tak pula mengidam yang pelik-pelik.”
Pada 7 Julai lalu, Ashraf telah mencetuskan kontroversi sekaligus mengejutkan banyak pihak apabila beliau bernikah secara rahsia dengan Sakinah atau nama sebenarnya Wan Sakinah Ahmad Saburi di Pattalung, Selatan Thailand. Sebelum itu beliau sudah pun mempunyai isteri, Noor Dayana Lokman. Mereka berkahwin pada 30 Ogos 2011 di Tanah Suci Mekah.
Dalam perkembangan lain Ashraf kini giat menguruskan syarikat produksinya, Hidayah Production. Selain itu beliau baru saja menceburi dunia perniagaan landskap. Sumber: Malaysian Digest