in

Gambar Aidid Marcello dan Yatt Hamzah Pengacara Pop Kuiz

KEMBALI CURI PERHATIAN PENONTON!

Shah Alam, 29 Julai 2009 – Jika menyebut sahaja tentang game show Pop Kuiz sudah tentu masih ramai lagi yang terkenangkan gelagat lucu para peserta dan hos yang mengendalikan program popular sekitar tahun 1990-an ini. Manakan tidak, program ini seperti fenomena yang tidak dapat dipisahkan dari dunia hiburan di mana Pop Kuiz bukan sahaja memberikan informasi mengenai dunia hiburan tanah air dan antarabangsa, malah penonton dapat melihat telatah selebriti kesayangan serta berhibur dengan persembahan mereka.

Sejak siaran terakhirnya pada tahun 2005, Pop Kuiz kembali mencuri ruang waktu penonton di hujung minggu bermula pada 19 Julai 2009, setiap hari Ahad di TV3. Ujibakat telah dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Sri Pentas dengan memilih peserta yang berusia 18 hingga 26 tahun berdasarkan kriteria seperti berpengetahuan dalam bidang hiburan dalam dan luar negara, aktif, lincah, kreatif serta berkebolehan secara selamba dalam bidang lakonan.

Rakaman untuk 13 episod musim pertama telah pun selesai pada bulan April. Kini, rakaman untuk mencari juara Pop Kuiz musim kedua sedang giat dijalankan bermula dari 25 hingga 31 Julai 2009 di Studio Glenmarie, Shah Alam.

Pengacara

Yatt Comel

Menyingkap kembali sejarah kegemilangan Pop Kuiz, masih terpahat di hati penonton kelincahan hos yang pernah mengendalikan program ini iaitu Aznil Hj Nawawi, Rina Khan, Amy Mastura, Maya Matahari, Intan Suraya dan Benjy. Populariti dan keberkesanan Pop Kuiz yang mula diterbitkan pada tahun 1992, berjaya mendapat pengiktirafan memenangi “Highly Commended Programme” oleh Asian Television Awards 1996. Untuk kemunculan semula Pop Kuiz, TV3 memberikan tanggungjawab kepada dua gandingan baru iaitu Aidid Marcello dan Yatt Hamzah untuk menceriakan lagi program hiburan berinformasi ini.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar,

“Setelah penelitian dan kajian dijalankan pihak kami merasakan tibalah masanya untuk mengvariasikan lagi himpunan program-progran yang disiarkan di TV3. Selain dari drama-drama hebat, program bual bicara, dokumentari dan hiburan yang menjadi tulang belakang kepada TV3, kami percaya dengan adanya program berbentuk gameshow berinformasi seperti Pop Kuiz bakal menarik lebih ramai penonton untuk berhibur di samping mendapatkan informasi mengenai industri hiburan tanah air dan antarabangsa. Malah kemunculan selebriti tanah air yang menyertai dan membuat persembahan penutup di setiap episod merancakkan lagi program Pop Kuiz ini. Tambahan pula, Intan Suraya bertindak sebagai penerbit dan semestinya dia memahami selok belok dan memperkemaskan lagi konsep program yang pernah dikendalikannya ini.

Pop Kuiz 2009 telah memecah tradisi terdahulu kerana buat julung kalinya terbahagi kepada 3 peringkat iaitu peringkat Pusingan Awal, Peringkat Separuh Akhir dan Peringkat Akhir.

Bagi peringkat Pusingan Awal, terdapat 3 segmen yang akan menghiasai program selama setengah jam ini iaitu Cepat Jawab, Action…Cut! dan Star Pop. Format segmen-segmen ini seperti berikut:-

Segman Cepat Jawab menguji sejauhmana pengetahuan para peserta dalam bidang hiburan dalam dan luar negara. Peserta dikehendaki untuk berebut menekan buzzer masing-masing untuk menjawab seberapa banyak yang boleh hanya dalam masa 3 minit sahaja. Jawapan yang betul akan diberi 10 markah, manakala jawapan yang salah ditolak 5 markah. 

Manakala segmen Action…Cut!, peserta dicabar untuk menggunakan kreativiti masing masing secara spontan dalam melakonkan satu watak dari filem atau drama dengan situasi yang berbeza mengikut arahan dari seorang juri tetap yang digelarkan ‘Tuan Pengarah’. Markah juga berdasarkan penilaian ‘Tuan Pengarah’ tersebut yang merupakan seorang karyawan arif dalam bidang teater dan seni lakon. Untuk musim pertama, Khir Rahman bertindak sebagai juri tetap manakala bagi musim kedua pula, Harun Salim Bachik bertindak sebagai juri bagi pusingan awal, dan Khir Rahman kembali dengan tugas juri tetapnya untuk peringkat separuh akhir dan akhir.

Penerbit Intan Suraya

Aidid Marcelo

Yatt

 

Segmen Pop Starz mengundang seorang penyanyi tanah air untuk menyanyikan dua buah lagu pilihan penyanyi itu sendiri dalam bentuk ‘minus one’. Setiap lagu yang dinyanyikan tidak melebihi dari satu minit.  

Sebaik sahaja lagu yang dinyanyikan berhenti, pengacara akan membuka lima soalan berkenaan lagu yang dinyanyikan tadi. Bentuk soalan adalah pelbagai sama ada berkenaan sejarah lagu itu sendiri atau mengulangi rangkap yang dinyanyikan atau pun mengajuk cara penyanyi menokok tambah bahagian tertentu. Oleh itu, peserta harus mendengar dengan teliti lagu yang dinyanyikan kerana tidak boleh menduga soalan apakah yang akan menyusul. Antara penyanyi undangan yang dijemput ialah Aizat, Ezlynn, One Nation Emcees, Nurul, Musly Ramli, Mus May, Lan Uncle Husin, Fabulous Cat dan ramai lagi.

Setelah ketiga-tiga segmen ini berakhir, markah keseluruhan akan dinilai. Peserta yang berjaya mengumpul markah tertinggi akan berentap sekali lagi ke pusingan separuh akhir. Sudah pastinya akan ada penambahan dan perubahan segmen yang lebih mencabar pada peringkat Separuh Akhir dan Akhir.  Pada peringkat separuh akhir, segmen bertajuk Adlib, iaitu berdialog dalam skrip spontan diwujudkan untuk memberi cabaran yang lebih sengit. 

Setiap pemenang di Peringkat Separuh Akhir akan berentap di Peringkat Akhir. Dalam peringkat ini, peserta harus melalui satu tugasan khas dalam segmen lakonan mereka. Peserta yang berjaya bergelar juara bakal membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM10,000 bersama hadiah-hadiah sampingan yang lain.

Barisan produksi yang menjayakan Pop Kuiz terdiri dari Hanif Hj Kassim sebagai Penerbit Penyelaras, Intan Suraya sebagai penerbit, Zaidy Salim sebagai penolong penerbit dan Mohd. Nor Fikri Mohd Taib sebagai pembantu penerbitan.            

                        

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Dayang Nurfaizah, Amylea, Hafiz di Karya1 Malaysia Charity Bazaar

Kejutan Deko Deko Deko Celcom Blue