Pusat hiburan Ruums Life Centre Kuala Lumpur dipenuhi peminat seawal jam 8 malam lagi. Khabarnya, Radio Era selaku penaja juga mengadakan makan malam bersama para jemputan VIP, artis dan pemenang kuiz pemanggil bertuah di sana bermula jam 7 malam.
Penyampai Radio Era FM yang berasal dari Klang, Selangor, Kieran selaku hos pada malam itu berjaya menarik khalayak untuk tidak duduk diam. Namun, malangnya teknikal dan sistem bunyi mengalami masalah. Seakan tidak dapat dimaafkan benda remeh-temeh macam ni pada saya.
Persembahan opening act disempurnakan oleh penyanyi berwajah eksotik, Farawahida dengan tiga lagu iaitu Rakus, Semuanya Ada Di Sini dan Buah Hati. Mengapa Farawahida? Selain berteduh di bawah satu bumbung syarikat rakaman, katanya Farawahida juga meminati lagu-lagu dari Letto.
Jam 9 malam, Letto mengambil alih pentas dari Farawahida dengan lagu No One Talk About Love Tonite. Lagu Inggeris ini tidak berapa mesra di telinga saya. Maklumlah, saya baru seminggu berjinak-jinak dengan album Letto, Truth, Cry & Lie ini. Kemudian, peminat terus bersorak dan terpekik saat vokalis Letto, Noe mendendangkan lagu Truth, Cry & Lie.
Namun, saya kira sorakan dan nyanyian peminat kian nyaring terpekik apabila lagu popular saat ini, Sandaran Hati dibawakan dengan lenggok dangdut dari Noe. Memang lucu sekali apabila lagu pop diimprovisasi sebegitu rupa. Kreatif! Kemudian, lagu Tak Bisa Biasa, sebuah lagu rancak yang bikin pemnat menari dan terhenjut-henjut bahu.
Lagu Sebenarnya Cinta… argh, buat saya turut terbang seperti rama-rama… sukar untuk dikatakan, lagu ini memang lain sedikit apabila dinyanyikan secara live. Namun, saya salute dengan band dari Jogjakarta ini kerana memberikan apa yang peminat mahukan, hiburan.
Lagu Insenstive yang menjadi lagu kegemaran saya selepas Sebenarnya Cinta juga turut membuat peminat terpaku. Rentak lagu ini sangat perlahan dan sangat-sangat romantisme. Suka dengan muziknya. Keren banget. Lagu Heartbreaker, katanya sebuah lagu baru Letto yang tidak pernah dinyanyikan dan dirakamkan dalam mana-mana album.
Gaya Letto berkomunikasi dengan peminat agak lucu apabila berhenti menyanyikan lagu Sampai Nanti Sampai Mati di bait pertama, “kalau kau pernah takut mati, sama. Kalau kau pernah patah hati, aku juga iya… ” Noe menyuruh peminat menyanyikan ayat terakhir dengan lebih kuat. Penonton malam itu memang sporting habis. Cayalah korang semua.
Persembahan Letto diakhiri dengan lagu yang catchy dan santai, Ruang Rindu. Lagu ini bagi saya berirama ceria sedang liriknya pula begitu puitis.
Ramai peminat hafal lagu ini turut sama melagukan bersama Noe. Selesai persembahan selama 45 minit itu seakan tidak puas bagi saya. Namun, apa boleh buat, ini cuma satu showcase sahaja. Selesai persembahan, Letto meluang masa untuk bertemu peminat di sesi menandatangani autograf.
Moga Letto datang lagi ke Malaysia untuk konsert yang lebih gempak lagi selepas ini. I love your songs so much!