ROZITA CHE WAN JAYAKAN WATAK IBU TUNGGAL BERDEPAN KONFLIK HIDUP DALAM BARA YANG KU GENGAM DI TV2
Kemunculan pelakon cantik Rozita Che Wan menerusi drama terbaharu disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bara Yang Ku Genggam terbitan Eurofine (M) Sdn Bhd disiarkan mulai 10 Ogos 2009, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11.30 pagi mengisi slot Mutiara @ 2 di TV2 pastinya mengubat kerinduan peminat setianya membawakan watak utama menerusi drama yang dibintanginya. Meskipun sebelum ini ‘terbiasa’ melakonkan watak seorang ibu, namun kemunculan pelakon yang juga seorang model ini kali ini memperjuangkan bakat lakonannya menghayati watak seorang ibu tunggal yang berdepan dengan pelbagai konflik hidup yang menguji kesabarannya.
Rozita Che Wan
Bara Yang Ku Genggam sarat dengan konflik diri yang dilalui wanita tabah bernama Juwita, lakonan Rozita Che Wan dalam meniti kehidupan sehariannya. Kehidupan Juwita yang bahagia setelah mendirikan rumahtangga dengan lelaki pilihannya, Adli berubah sama sekali setelah mereka terlibat dalam kemalangan yang tanpa diduga telah meragut nyawa suaminya itu. Namun Juwita hanya diberitahu kematian suaminya setelah selamat melahirkan anak sulongnya, Aiman.
Daripada wanita ’biasa-biasa’ yang bergelar suri rumah, Juwita bangkit semula daripada trauma episod sedih kehilangan suaminya kerana sedar dia masih perlu membesarkan Aiman dengan penuh kasih sayang. Apatahlagi dia memikul tanggungjawab mengambil alih tugas menguruskan Sinar Holdings, syarikat perusahaan milik arwah suaminya dengan mendapat sokongan penuh Shauki, rakan perniagaan arwah suaminya itu.
Ako Mustapha
Namun perjalanan hidup Juwita tidak semudah disangka apabila dia terpaksa berdepan dengan tekanan diberikan ibu mentuanya, Puan Aisyah dan adik iparnya, Marina yang terang-terangan membenci kehadiran Juwita sebagai sebahagian daripada keluarga mereka. Malah menfitnah yang Aiman bukanlah anak Juwita dengan Adli, sebaliknya anak luar nikah Juwita dengan lelaki lain. Di samping mengugut Juwita supaya menyerahkan syarikat milik arwah Adli kepada mereka.
Begitu pun Juwita nekad mempertahankan haknya. Dia mahu memikul amanah yang diberikan arwah Adli meskipun sedar terpaksa berdepan dengan masalah syarikat yang semakin merosot perkembangannya. Ketika itu muncul Raymond yang sudi menghulurkan bantuan untuk membaik pulih prestasi syarikatnya dengan membeli sebahagian saham syarikat Sinar Holdings.
Catrionna Ros
Tekanan diterima Juwita bukan sahaja melibatkan soal syarikat sebaliknya melibatkan soal keluarga dan perasaan. Juwita berkelana mencari ibu kandung dan keluarganya kerana sedar dirinya hanya anak angkat kepada Mak Yam yang menjaganya sejak kecil. Malangnya kehadiran Juwita tidak disenangi anak kandung Mak Yam, Safuan dan Azura yang sentiasa menimbulkan masalah dengannya. Hingga Safuan sanggup berkomplot dengan Marina untuk menjatuhkan syarikat diuruskan Juwita.
Pada masa sama Juwita berkawan baik dengan Dr. Izzuddin, pakar sakit puan yang bertanggungjawab menyambut kelahiran anaknya, Aiman dan banyak memberikan semangat kepadanya ketika berdepan situasi sedih kehilangan arwah suaminya. Begitu pun mereka terpaksa berpisah tanpa sempat meluahkan perasaan masing-masing setelah Dr. Izzuddin bertugas ke luar negara mengikut misi bangsa-bangsa bersatu ke khemah pelarian Afghanistan.
Feroz Khan
Namun setelah Dr. Izzuddin ke Afghanistan dan terputus hubungan, Juwita berhubungan baik dengan Shauki yang banyak mengajarnya soal perniagaan dan pengurusan syarikat hingga timbul salah faham antara Shauki dengan isterinya, Azlin. Pelbagai insiden terjadi yang menyebabkab Juwita menghadapi tekanan perasaan berterusan. Juwita tersepit dengan keadaan yang tidak diduganya itu.
Lalu bagaimanakah Juwita berdepan dengan masalah bertimpa-timpa yang dilaluinya? Dapatkah dia mengatasi tekanan daripada Marina dan Safuan yang tidak putus-putus mahu merebut Sinar Holdings daripadanya? Sedarkah Juwita bahawa ibu bapa kandung yang dicarinya selama ini hanya di depan mata? Siapakah pula pemuda yang menjadi pilihan hatinya antara Dr. Izzuddin dan Shauki yang saling bersaing merebut hatinya?
Menerusi drama bersiri 26 episod siarannya, Rozita Che Wan turut bergandingan dengan pelakon terkenal lain Rozita Che Wan, Ako Mustafa, Shahrizal Jaafar, Dian P.Ramlee, Catriona Ross, Zack Idris, Memey Suhaiza, Fezrul Khan dan Jasmin Ashraf.
Untuk mengikuti babak menarik ini, usah ketinggalan meluangkan masa anda menyaksikan Bara Yang Ku Genggam disiarkan mulai 10 Ogos 2009, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11.30 pagi mengisi slot Mutiara @ 2 di TV2.