RANCANGAN MUZIKAL : SIMFONI MERDEKA TEMUI PENONTON MULAI 5 OGOS 2009 DI TV1
Pelbagai pendekatan digunakan untuk menyemarakkan sambutan kemerdekaan yang bakal disambut seluruh warga Malaysia 31 Ogos kelak. Selain disajikan dengan dokumentari yang menyumbang kepada menyuntik semangat setiap rakyat, Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut menghidangkan program muzikal Simfoni Merdeka yang disiarkan mulai 5 Ogos 2009, setiap Rabu, jam 2.31 petang di TV1.
Simfoni Merdeka menerusi empat episod siarannya membawa para penonton berhibur dengan dendangan lagu-lagu berunsur patriotisme oleh artis-artis terpilih disiarkan secara langsung dengan iringan live band dan dijayakan oleh artis-artis terkenal tanahair.
Menampilkan pengacara Fauziah Ahmad Daud, persembahan program setengah jam ini akan diselang-selikan antara persembahan nyanyian dengan segmen-segmen menarik dan berinformasi melibatkan segmen ‘Suatu Waktu’ yang mengimbas kembali serba sedikit sejarah perkembangan serta kemajuan dalam bidang penyiaran, pendidikan, pertahanan dan ekonomi. Pastinya setiap episod mengetengahkan pengacara akan menyampaikan segmen ini dengan membawa penonton mengimbas semula perkembangan pesat dalam dunia penyiaran di Malaysia bermula dari detik Kemerdekaan pada tahun 1957 hingga kini. Begitu juga Info-info ringkas dalam bentuk visual akan diselitkan di sini.
Sebelum menyusul kemudiannya, segmen ‘Artis Kita’ pula akan membawa para penonton membongkar semangat patriotisme di kalangan artis-srtis veteran yang jarang diketahui umum selama ini. Istimewanya dimana salah satu episodnya akan menampilkan tetamu khas iaitu Datin Orked Abdullah untuk berkongsi sedikit pengalaman peribadi dalam membuktikan semangat patriotiknya ketika menyambut Kari Kemerdekaan.
Pastinya program Simfoni Merdeka akan bergerak pantas bersama lagu lagi berunsur patriotisme yang penuh bersemangat agar penonton terhibur dan tidak merasa bosan menonton hingga ke akhir setiap episod yang antaranya menampilkan persembahan nyanyian oleh Jacyln Victor, Mila, Jay Jay, Farah wahida dan Aizat yang masing-masing akan menyanyikan lagu yang berunsurkan semangat patriotisme dan bergerak pantas.
Kedua-dua segmen ini akan diselang-seli dengan persembahan nyanyian oleh artis-artis popular tanahair sebelum tirai penutup rancangan ini dimana Fauziah Ahmad Daud diringi semua artis jemputan akan ditampilkan semula menyanyi bersama-sama dan melaungkan Salam Merdeka kepada para penonton.
Justeru dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan terutama dikalangan golongan remaja, usah ketinggalan meluangkan masa menyaksikan Simfoni Merdeka yang disiarkan mulai 5 Ogos 2009, setiap Rabu, jam 2.31 petang di TV1.