Menampilkan kemunculan aktor kacak Izzue Islam sebagai watak utama di samping muka baru dan ‘segar’, bintang Pilih Kasih iaitu Sura Sojangi dan Reen Rahim, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan drama bersiri menarik bertajuk “Aku Tak Percaya Cinta” yang mula menemui penonton hari ini.
Menerusi 13 episod siarannya, “Aku Tak Percaya Cinta” arahan Harris Fadzillah Abd Samad dan skrip ditulis Sharifah Abu Salem menemui penonton saluran TV1 setiap Isnin hingga Khamis, pukul 11.30 pagi ini mengungkap perihal kasih sayang dua gadis yang dibesarkan ibu bapa angkat mereka saling bersaing merebut kasih dan perhatian keluarga antara satu sama lain.
[pullquote align=”right”]Kepada peminat Izzue Islam, jangan lupa tonton drama 13 Episod “Aku Tak Percaya Cinta” Di TV1 setiap Isnin hingga Khamis, pukul 11.30 pagi[/pullquote]
Bagaimanapun, Luna dan Elia tidak pernah tahu realiti sebenar diri mereka sebagai anak angkat kepada pasangan Mahadi dan isterinya, Mirza. Mereka dibesarkan bersama seperti adik-beradik kandung tetap masih wujud api cemburu di dalam hati Luna dan Elia. Mereka juga tidak pernah sependapat.
Masing-masing mahu diberi lebih kedudukan oleh ibu bapa mereka. Apapun, dalam soal jodoh dan cinta nampaknya Elia nyata lebih bernasib baik berbanding dengan Luna.
Elia dijodohkan dengan anak orang kaya, Irshad. Walaupun berstatus tunangan orang, Irshad sebenarnya sangat menyukai Luna. Pun begitu, Luna pula enggan mempercayai cinta kerana kegagalannya dalam perhubungan yang lalu. Bagi Irshad, apa pun terjadi dia akan tetap berusaha memburu cinta Luna.
Di pihak Elia sendiri, gadis ini nekad mempertahankan cintanya terhadap Irshad. Lalu, bertambah parahlah sengketa antara Luna dan Elia sehingga mereka bermusuh. Kisah cinta tiga segi yang berlaku membuatkan Elia menganggap Luna mahu merampas Irshad daripadanya. Justeru, pelbagai konflik muncul.
Walaupun tampil sederhana dan agak kasar, Luna lebih bijak berbanding Elia serta menyerlah dalam banyak perkara. Namun kelebihan Elia pula adalah dia lebih feminin, lembut dan sangat menjaga perasaan ibu bapa mereka. Jadi, sukar untuk mereka berdua mengalah kerana sedar kelebihan masing-masing. Sama ada soal keluarga mahu pun perniagaan yang diurus, siapa lebih mendapat perhatian? Siapa pula antara mereka yang berjaya menjalinkan hubungan yang lebih serius dengan Irshad?
Barisan pelakon drama Aku Tak Percaya Cinta adalah Izzue Islam (Irshad), Sura Sojangi (Luna), Reen Rahim (Elia), Hafizzuddi (Mahadi), Norseha (Mirza), Fazlina Datuk Ahmad Daud (Shiren), Nizen Ayob (Kamil), Mahmud Ali Basha (Datuk Omar), Tasha Aziz (Datin Ruby), Azza Elite (Mariam), Rashid Jaafar (Pak Jamal), Maimon Mutalib (Mak Gayah) dan Bil Azali (Norman).