SIDANG MEDIA PERTANDINGAN AKHIR JUARA ASYIK 2009
Majlis Sidang Media Pertandingan Akhir Juara Asyik 2009 berlangsung pada 21 Julai 2009 (Selasa) jam 3.00 petang bertempat di Auditorium P.Ramlee Angkasapuri Kuala Lumpur.
VIP yang diundang bagi majlis ini ialah YBhg. Dato’ Norhyati Ismail, Timbalan Ketua Pengarah(Penyiaran Strategik), Tuan Haji Keliwon Pajhar (Pengarah Siaran Radio) dan Dato’ Mokhzani Ismail (Pengarah Muzik RTM).
Setelah kejayaan ASYIKfm menganjurkan Juara Asyik 2007 yang mengetengahkan bakat kumpulan-kumpulan kugiran masyarakat orang asli, tahun ini, dengan bangganya ASYIKfm tampil memeriahkan persada seni tanah air dengan penganjuran Juara Asyik 2009 yang akan menampilkan penyanyi-penyanyi solo masyarakat orang asli.
Malam penuh gilang gemilang bakal dilangsungkan pada 26 Julai 2009, jam 8.30 malam di Auditorium Perdana Angkasapuri yang eksklusif disiarkan secara langsung menerusi ASYIKfm, TV2 dan Muzik Aktif.
Acara dwitahunan ini sememangnya dinantikan oleh seluruh masyarakat orang asli negara kerana Juara Asyik merupakan satu-satunya platform terbaik untuk mereka menonjolkan bakat dalam bidang seni suara. 10 lokasi ujibakat telah dijelajahi oleh kru Juara Asyik 2009 yang merangkumi negeri Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kelantan, Johor dan Kuala Lumpur. Dari 10 lokasi tersebut, seramai 453 penyertaan telah dikumpul dan lebih 30 orang telah disenarai pendek dan di bawa ke Saringan Akhir Juara Asyik 2009 yang berakhir pada 4 Julai 2009 di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri, Kuala Lumpur. Menerusi saringan akhir tersebut, terpilih 8 finalis akhir terpilih yang bakal berentap pada malam Juara Asyik 2009.
Pertandingan Juara Asyik 2009 bukan sekadar cuba mengetengahkan bakat penyanyi solo masyarakat orang asli, malah turut mencungkil bakat komposer-komposer amatur masyarakat orang asli. Tanggungjawab komposer-komposer amatur ini adalah mencipta lagu-lagu wajib buat 8 finalis tersebut yang bakal mendendangkan lagu-lagu ini di malam kemuncak Juara Asyik 2009. Justeru, malam kemuncak Juara Asyik 2009, 8 finalis bakal mendendangkan 2 buah lagu iaitu satu lagu pilihan dan satu lagu wajib ciptaan komposer-komposer amatur tersebut.
Berikut merupakan finalis Juara Asyik 2009 yang bakal menggegarkan Auditorium Perdana Angkasapuri, 26 Julai nanti, 8.30 malam. Wah Moliz a/p Bah Long, gadis kecil molek berusia 18 tahun berasal dari Gopeng, Perak. Sesuai dengan usianya yang muda, beliau akan mendendangkan lagu pilihan yang dipopularkan oleh Elyana, Kalis Rindu, juga sebuah lagu wajib ciptaan Long Exsan bertajuk Bintang. Finalis dari suku kaum Semai ini gemar menghabiskan masa lapang dengan menyanyi. Wah Moliz turut fasih berbahasa Mandarin. Mungkin satu hari nanti, dapat kita saksikan bakat daripada masyarakat orang asli yang mampu mendendangkan lagu-lagu mandarin dengan baik.
Berusia 19 tahun, Mazuan a/l Bah Gajah, pemuda dari suku kaum Semai ini telah awal-awal lagi melaungkan hasrat untuk menggondol gelaran Johan Juara Asyik 2009. Beliau amat teruja untuk beraksi di pentas final nanti setelah dipilih sebagai antara 8 finalis Juara Asyik 2009. Mazuan akan mendendangkan lagu pilihan yang dipopularkan oleh Jamal Abdillah, Penghujung Rindu, juga lagu wajib ciptaan Anisa Rosli, Hanya Dirimu Dalam Hatiku ketika pentas akhir nanti. Bukan setakat menyanyi sahaja, pemuda ini turut boleh menari dengan baik disamping memiliki bakat semula jadi di dapur kerana beliau cukup suka memasak.
Nun jauh dari pantai timur semenanjung tanah air, Ramlan Bin Abak, hadir dengan harapan menggunung untuk menggegar malam Juara Asyik 2009 seterusnya membawa pulang trofi kejuaraan. Pemuda berusia 25 tahun ini pastinya mampu mencuri tumpuan ketika malam final nanti kerana dengan kemantapan vokal ala Bandi Amuk, beliau akan memberikan saingan sengit kepada finalis lain. Berasal dari RPS Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan, pemuda suku kaum Temiar ini akan membawa lagu pilihan yang dipopularkan oleh Kumpulan May, Gadis Bertudung Putih, juga lagu wajib ciptaan Nizam bertajuk Sinar Gemerlapan.
Nora Hafizah Binti Nordin, gadis suku kaum Jakun yang berusia 23 tahun ini berasal dari Bekok, Segamat, Johor. Beliau berharap agar Juara Asyik 2009 ini akan menjadi platform untuk beliau menunjukan bakat terpendam selama ini. Dengan status sebagai seorang isteri, bagi Nora, ia bukan penghalang untuk beliau menyinar ketika pentas final nanti. Nora akan mendendangkan lagu pilihan nyanyian asal Jeslina Hashim, Ku Intai Cinta Dalam Rahsia juga lagu wajib ciptaan Mustaffa bertajuk Yeacheded Penayak Hak Mayik yang bermaksud Cinta Palsu.
Berasal dari Perkampungan Orang Asli Lorong Sungai Beruang, Kuantan, Pahang, Azizi Jafri a/l Awang, pemuda berusia 22 tahun dari suku kaum Jakun ini cukup gemar bermain gitar diwaktu senggang. Sudah mendirikan rumahtangga, Azizi amat berharap agar kemenangan di Juara Asyik 2009 kelak dapat merubah masa hadapan keluarganya. Di pentas final nanti, Azizi akan mendendangkan lagu pilihan yang dipopularkan oleh Kumpulan Bunkface, Situasi dan lagu wajib ciptaan Jaafar Salleh, Maafkan Ku.
Selain daripada menyanyi, finalis ini cukup suka membaca dan melukis bagi memenuhi waktu lapang beliau. Berusia 18 tahun, Noraini a/p Abu berasal dari Pekan, Pahang. Gadis dari suku kaum Jakun ini tidak menjadikan usia yang muda sebagai halangan untuk beliau bersaing dengan finalis lain yang lebih dewasa dan mempunyai pengalaman yang lebih luas. Noraini bakal tampil di pentas akhir nanti dengan mempersembahkan lagu pilihan yang dipopularkan oleh Yuna, Dan Sebenarnya serta lagu wajib ciptaan OTG bertajuk Epoujh yang bermaksud Ku Nanti.
Finalis seterusnya, berasal dari Kampung Batu 8, Rompin, Pahang, Maznah Binti Majid merupakan antara finalis wanita yang mempunyai keupayaan menidakan harapan finalis lain untuk merangkul kejuaraan dalam pertandingan ini. Berusia 25 tahun, Maznah merupakan satu-satunya finalis kacukan dari suku kaum Jahut dan Jakun. Dengan kemantapan vokal yang memukau, Maznah akan membawa lagu pilihan dendangan asal Alyah, Tak Mungkin Kerana Sayang dan lagu wajib ciptaan Remy, Aku Di Sini.
Finalis terakhir, berusia 30 tahun, Noraliza Binti Iskandar Zulkarnain tampil dengan penuh keyakinan kerana dengan usia yang cukup matang, beliau yakin mampu mengatasi perasaan gemuruh dan seterusnya memberikan persembahan terbaik di pentas akhir nanti. Berasal dari Petaling Jaya, Selangor dan dari suku kaum Temuan, Noraliza akan mendendangkan lagu pilihan yang dipopularkan oleh Noraniza Idris, Dikir Puteri dan lagu wajib ciptaan Kak Ham, Tinggal Kenangan.
Gementar malam pertandingan selepas menyaksikan persembahan tiga peserta diredakan dengan nyanyian selingan dari artis-artis jemputan yang akan membawa lagu dari empat dialek yang berbeza. Dimulakan dengan persembahan Itam Jelmol dengan lagu hitsnya ’Balai Peninjol’ (dialek Suku Kaum Temiar), Agek dengan lagu ‘Wak Anuk’ (dialek Suku Kaum Semai), Azimat yang akan membawa lagu ‘Joget Kapalterbang’ (dialek Suku Kaum Jakun) dan Era dengan lagunya ‘Sampai Hati Awak‘ (dialek Suku Kaum Temuan
Malam Pertandingan Akhir Juara Asyik 2009 bakal dihangatkan lagi dengan persembahan selingan dari Pokos (ikon Juara ASYIK 2009) dengan lagu ‘Pria Terhebat. Selepasa Pokos, pentas diambil alih oleh artis-artis jemputan seperti Dia Fadilla dengan lagunya ‘Jat Da Da‘, Clifford dan Esther dengan ‘Quando Quando Quando‘.
Acara kemuncak pada malam tersebut merupakan Majlis Penyampaian Hadiah bagi Juara (RM10,000), Naib Juara (RM8,000), Tempat Ketiga (RM6,000) dan bagi Pencipta Lagu Terbaik (RM 3,000) masing-masing beserta sijil dan trofi. Jumlah keseluruhan hadiah-hadiah lumayan ini berjumlah RM 32,000.00.