Keberkatan Hari Raya Aidiladha kembali dihayati oleh semua umat Islam pada 15 Oktober 2013 ini yang jatuh pada 10 Zulhijjah 1434H. Justeru Radio Televisyen Malaysia ( RTM ) menyajikan pelbagai pilihan rancangan menarik tontonan seisi keluarga sempena hari mulia di saluran TV1
Kisah seorang gadis bernama Adinda yang lumpuh namun punyai hatinya tabah mengharungi cabaran hidup. Adinda sebuah telefilem slot Nurani bersiar pada hari Jumaat 11 Oktober ini , jam 10.30 pagi. Adinda tidak mampu melupakan peristiwa hitam dalam keluarganya. Setelah kematian ibunya dia terpaksa tinggal bersama bapa tirinya yang kaki judi dan suka berhutang. Kehadiran pemuda yang bermain alat muzik tradisional di kampung itu memberikan kebahagiaan dan ketenangan dalam diri Adinda. Bersama pelakon Khir Rahman, Wan Sharmila dan Nam Ron.
Istimewa Aidiladha Menerusi Pelbagai Telefilem Dan Bual Bicara Di TV1
[dropcap]S[/dropcap]lot Panggung Ahad menemani anda dengan sebuah drama Melayu bertajuk Pteromerhano, jam 10.05 Pagi, 13 Oktober hari Ahad. Mengisahkan Pak Cik Zahari lakonan Harun Salim Bachik dan isterinya sangat gembira dan teruja kerana dapat menunaikan Haji. Namun ada sesuatu yang telah menganggu fikiran Pak Cik Zahari yang menyebabkan dia menjadi murung selepas mendapat surat untuk menunaikan haji . Ini telah menyebabkan isteri dan anak-anaknya risau dengan perubahan Pak Cik Zahari. Apakah Pak Cik Zahari mampu menunaikan ibadah rukun Islam ke lima itu ?Saksikan gelagat mereka dalam Pteromerhano bersama gandingan Kathy Azean dan Along Sentol.
Seterusnya Telefilem Khas bertajuk Mencari Takbir yang menampilkan Eira Shazira, Fezrul Khan, Ku Faridah dan Jufery Rayyan menemui penonton pada 14 Oktober ini, jam 2.00 petang. Mengisahkan ketabahan hati dan kesukaran hidup dihadapi wanita bernama Shahila apabila suaminya, Mikail yang juga saudara baru kembali mengamalkan cara hidup seperti dahulu. Pelbagai cara dan pendekatan digunakan Shahila untuk cuba membawa suaminya kembali ke jalan yang redhai Allah.
Tidak lengkap sambutan Aidiladha jika tidak menonton rancangan keagamaan dan peristiwa bagi menghayati upacara qurban. Rancangan bual bicara Salam Baitullah Edisi Khas bakal bersiar pada 15 Oktober ini, hari Selasa jam 10.05 Pagi. Kali ini ia bersiara secara langsung dari Tanah Suci Kota Makkah yang memaparkan perkembangan terkini jemaah Malaysia mengerjakan ibadah haji di tanah suci Makkah. Selain itu, sebuah Dokumentari Khas : Damainya Adha terbitan RTM Sabah, memaparkan informasi yang berkonsepkan ceramah tazkirah yang mengupas sejarah Islam yang membawa kepada sambutan Aidil Adha. Bakal temui penonton pada 15 Oktober, jam 11.05 pagi di TV1.
Kisah suka duka seorang insan yang ingin mencari cahaya kebenaran menerusi Telefilem Khas berjudul Warkah Ke Baitullah pada 15 Oktober, Selasa jam 2.00 Petang yang memebariskan pelakon hebat seperti Dato Ahmad Tamimi Siregar, Razali Hussain, Omar Abdullah dan Izyan Jamil.
Esoknya 16 Oktober 2013, jam 2.00 petang sebuah telefilem khas bertajuk Menanti Saat Itu yang mengisar tentang wanita bernama Khatijah yang hidup dalam kegelisahan apabila anak-anaknya Iqbal dan Anisah mendesaknya supaya mengerjakan ibadah haji sedangkan dalam waktu yang sama, dia dihantui oleh pelbagai cerita-cerita yang menakutkan tentang pembalasan Allah SWT terhadap jemaah Haji yang pernah melakukan dosa-dosa besar. Mampukan Khatijah ke Tanah Suci untuk mengerjakan rukun islam ke lima itu ?
Saksikan lakonan mantap oleh Fauziah Nawi, Rusdie dan Aida Aris dalam Menanti Saat Itu. Jangan lupa saksikan slot Nurani : Jihad Umairah pada 18 Oktober 2013, jam 10.30 Pagi yang membawa kisah ketabahan seorang isteri bernama Umairah yang berdepan dengan konflik apabila suaminya mengalami kemalangan. Lakonan Elly Mazlyn, Zamarul Hisyam, Didie AF dan Khaty Azean.
Pastikan anda terus setia bersama RTM dengan menonton TV1 sebagai pilihan program istimewa sempena Hari Raya Aidiladha.