in

Hadziq dan Ruminah Sidek Dalam Belalang Epik Anakanda Nujum Diraja

BELALANG; EPIK ANAKANDA NUJUM DIRAJA
Drama Pengembaraan Terbaru Bakal Warnai Astro Ceria!

Dalam usaha untuk menyokong pembangunan seni tanahair, Astro terus gigih dalam menawan hati para pelanggan dengan menyediakan kepelbagaian kandungan tempatan untuk memenuhi citarasa penonton yang berbeza.

Terbaru, menerusi saluran kanak-kanak No.1 negara iaitu Astro Ceria (saluran 611) yang terus sinonim dengan penerbitan program-program yang disasarkan khusus buat kanak-kanak kini dengan berbesar hati membawakan sebuah drama bersiri terbaru yang berjudul Belalang; Epik Anakanda Nujum Diraja. Drama menarik ini diilhamkan oleh Adlin Aman Ramlie dan diarahkan oleh pengarah Opie Zami.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ceria, Azlin Reza Azmi berkata, ”Kami di Astro tidak pernah jemu untuk terus membekalkan program berkualiti yang menghiburkan di samping memberi pengajaran untuk disajikan kepada para pelanggan. Sehubungan dengan itu, Astro Ceria dengan bangganya membawakan drama bersiri terbaru yang pastinya akan menarik perhatian para penonton sasaran kami berjudul Belalang; Epik Anakanda Nujum Diraja yang kini sedang giat menjalani proses penggambaran di pelbagai lokasi terpilih sekitar negara.”

Bagi memeriahkan lagi proses penggambaran drama Belalang ini, Astro Ceria bersama-sama krew produksi akan menjelajah ke sekitar lokasi-lokasi bersejarah di sekitar Melaka dan Kuala Lumpur pada 18 dan 25 Julai 2009. Sehubungan dengan itu, orang ramai terutamanya adik-adik yang berumur dalam lingkungan 4 hingga 14 tahun dijemput untuk mengikuti penggambaran Belalang ke lokasi-lokasi yang terpilih di sekitar Malaysia sambil mengenakan pakaian tradisional ala Melayu untuk memeriahkan lagi suasana. Petikan rakaman pengembaraan Belalang ke tempat-tempat bersejarah ini akan disiarkan sebagai selingan menerusi Astro Ceria sempena Merdeka kelak.

hadziq tom tom bak

Hadziq Tom Tom Bak

Menerusi Program Cuti-Cuti Merdeka Bersama Belalang ini bukan sahaja memberi peluang kepada adik-adik belajar dan bergembira malah mereka juga dapat mengetahui tentang program Belalang dengan lebih lanjut serta mempelajari dengan lebih mendalam tentang sejarah Malaysia.

Azlin turut menambah,”Drama-drama bersiri yang ditayangkan di saluran Astro Ceria bukan hanya menekankan kepada elemen hiburan semata-mata tetapi juga elemen pembelajaran dan tauladan yang dapat diikuti di akhir setiap episod. Berikutan maklum balas hebat yang diterima untuk drama-drama lain seperti Hikayat Putera Shazlan,  Geng Bas Sekolah, Kapten Boleh serta Afi Dan Abah, kami yakin drama Belalang juga mampu mengumpulkan penonton-penonton setianya kelak.”

 “Konsep penceritaan drama Belalang ini adalah berkonsepkan pengembaraan yang akan didokong oleh watak utama seorang kanak-kanak lelaki bernama Belalang yang akan berdepan dengan pelbagai watak tradisional daripada pelbagai rentetan peristiwa yang pelik, lucu, sedih dan menggerunkan.”
 
“Watak Belalang ini akan terlibat secara langsung dalam siri kejadian yang akan mematangkan dirinya di samping memberi manfaat-manfaat baru kepada watak-watak lain yang berdepan dengan masalah semasa.”

“Kesudahan cerita akan memberikan keputusan yang berbeza daripada apa yang kebanyakkannya tertulis di dalam hikayat mahupun cerita-cerita rakyat yang telah lama dipercayai sejak turun-temurun. Secara umumnya, watak belalang akan dilihat sebagai wira baru di dalam percaturan watak-watak tradisi,” tambah Azlin lagi.

Drama bersiri ini dibintangi oleh barisan gabungan pelakon baru dan lama seperti adik Hadziq, Sobri Anuar, Aqasha, Ruminah Sidek, Opie Zami, Zami Ismail, Bob Kuman, Yassin Senario dan ramai lagi.

Ia mengisahkan Belalang anak Nujum DiRaja yang terlalu ingin merantau mencari ilmu di dada. Namun bapanya, sering saja mencari alasan agar Belalang tidak pergi jauh daripadanya. Risaukan keselamatan anaknya, Belalang disuruh berguru pencak dengan Tok Panglima di kampung sebelah sebagai bekalan andai perjalanannya itu kelak diduga dengan segala yang jahat. Belalang yang tidak suka keganasan terpaksa menurut kerana janji bapanya, sesudah berguru silat bolehlah dia mengembara.
 
Raja bagaimanapun telah mendapat tahu niat murni Belalang itu dan menabalkan Belalang sebagai Utusan Kecil DiRaja yang turut dikurniakan Alat Kebesaran DiRaja yang dipanggil Tinta Raja yang terdiri dari pena duri landak emas, dilengkapi dengan tinta sakti berupa dakwat dan selembar kulit emas rusa putih yang darinya dapatkan Belalang menuliskan dan menghimpun segala ceritera manusia sepanjang perjalanannya bagi faedah istana dan rakyat jelata.

Masalah utama yang dihadapi Belalang adalah apabila dia sebenarnya buta huruf dan tidak pandai membaca. Dengan nujuman dan restu bapanya, berangkatlah Belalang mengembara mencari guru yang dapat mengajarnya mengeja dan membaca. Banyaklah rintangan yang dihadapinya dalam menamatkan pembelajarannya sebelum mampu mula menulis. Sebagai permulaan, dilukislah saja bentuk-bentuk pengalamannya ke dalam Tinta DiRaja itu.
 
Sepanjang pengembaraannya itu, ramai manusia dan kejadian-kejadian yang dialaminya yang rata-rata kejadian dan kisah-kisah malang belaka. Maka terpanggillah Belalang untuk berbuat sesuatu dengan harapan membantu mereka keluar dari nasib buruk yang mungkin menimpa mereka. Harapannya juga untuk pulang kekampungnya bersama cerita-cerita hebat dan ilmu yang mengunung.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gosip Pelakon Drama Tinggalkan Anak Bercuti Dengan Kekasih

Siapa Juara Pertandingan Akhir Juara Asyik 2009