TANGGAL 26 Jun lalu, ketua kumpulan dan pemain gitar Meet Uncle Hussain (MUH), Nik Mustaza Nik Mustapha, 30, atau Taja, melangsungkan pertunangan dengan kekasih hatinya, Nafisah Mohamat Yusof Khir. Nafisah atau mesra disapa dengan panggilan Kimi merupakan pengurus kepada MUH, band indie yang mencapai tingkat populariti selepas menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23, Januari lalu.
Berlangsung di kediaman keluarga Kimi di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, ia menjadi detik kegembiraan berganda buat Kimi apabila majlis pertunangan itu jatuh pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-26.
Menjadi suatu hadiah cukup berharga, Kimi punyai kisah tersendiri yang manis untuk dikenang sebelum dilamar sang jejaka bernama Taja sebagai tunangannya. Kata Kimi, sejak mengenali hati budi masing-masing kira-kira dua tahun lepas, Taja sebenarnya secara senyap telah menyimpan hasrat untuk menjadikannya sebagai suri hidup.
Namun, jelasnya, hasrat itu diluahkan oleh Taja menerusi lagu-lagu yang dicipta sendiri oleh lelaki itu. Lagu-lagu tersebut, ujar Kimi, adalah Dambaran Cinta, Gembira-Gembira, Kinilah Masanya, Hanya Khayalan dan Kau Tak Akan Keseorangan.
“Mula-mula memang saya tidak perasan. Tetapi, lama kelamaan, saya rasa lagu-lagu terbabit ada kena mengena dengan hidup saya. Dia (Taja) memberi saya petanda dalam senyap melalui lirik-lirik lagu. Ada juga lagu-lagu itu menyindir saya terutama lagu Dambaran Cinta. Lagu itu menceritakan saya yang tidak mempunyai teman lelaki,” katanya ketika ditemui sejurus selepas jari manisnya disarung cincin pertunangan oleh bakal ibu mertuanya, Maimun Ajit.
Pada majlis itu, pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh di sebelah perempuan. Merancang mengikat pertunangan selama setahun, wang hantaran masih dibincangkan antara kedua-dua belah pihak keluarga Kimi dan Taja.
Menyambung bicara, Kimi yang manis berbaju kurung moden berwarna biru firus menjelaskan bahawa dengan lagu-lagu yang dicipta Taja, ia memperlihatkan bakal suaminya itu amat serius untuk mengenali dirinya.
“Ramai lelaki yang saya kenal dan temui, dialah yang paling okey. Walaupun baru sahaja kenal, Taja amat bersungguh-sungguh dan mengambil berat,” katanya yang juga anak tunggal kepada pasangan Mohamat Yusof Khir dan Asmah Wyat.
Ujar Kimi, biarpun menjadi ‘boss’ kepada MUH, dia sehabis baik akan cuba berlaku profesional dalam membezakan antara kerjaya dan perhubungan kasih antaranya dengan Taja.
“Sebelum ini pun kami sering ‘bertekak’ tentang soal kerja. Masing-masing cepat naik darah. Inilah cabaran yang harus kami tempuhi. Pasti, ia akan menguji kesabaran. Tetapi, kami sendiri sudah berbincang soal ini sebelum masing-masing mengambil keputusan serius untuk hidup bersama,” jelasnya.
Berterus-terang gunakan lagu
Bagi Taja pula, soal lamaran menerusi lagu terpaksa dilakukan kerana dia agak sukar meluahkan dengan kata-kata. Ditanya mengenai Kimi, Taja berkata, wanita itu merupakan seorang yang cantik dan pelengkap dalam hidupnya.
“Saya adalah orang yang jenis tidak kisah tetapi Kimi cukup mengambil berat dan teliti dalam apa jua yang dilakukan. Oleh yang demikian, kami sering lengkap melengkapi antara satu sama lain. Hendak cerita soal kerja, memang kami selalu sangat bergaduh. Tetapi di luar lingkungan kerja, kami cukup baik,” ujar Taja yang juga anak kelima dan satu-satunya yang masih bujang daripada enam beradik.
Taja yang tampil berbaju Melayu berkata, walau tempoh bertunang ditetapkan selama setahun, dia dan Kimi mungkin akan percepatkan pernikahan andai keadaan ekonomi mereka bertambah baik.
Adakah Nuh akan menyertai Meet Uncle Hussain? Kena tunggu…
Siapa pengganti Lan?
Sementara itu, berbalik kepada Kimi, saat diajukan persoalan tentang pengganti vokalis MUH iaitu Lan, dia memberitahu, pengurusan label rakaman telah memberi kebenaran kepada MUH untuk mencari vokalis baru.
“Terserah kepada band. Sepatutnya mereka sudah mencari pengganti Lan. Saya cuma pengurus MUH sahaja dan urusan itu (pengganti) adalah urusan mereka,” katanya ringkas.
Desas desus perpecahan MUH sudah lama diperkatakan gara-gara Lan didakwa sering kali menimbulkan masalah disiplin yang menyebabkan anggota kumpulan yang lain turut terkena tempiasnya.
Khabar angin lain turut mengatakan Lan sudahpun menandatangani kontrak secara solo dengan sebuah syarikat rakaman dan mengenepikan tiga lagi anggota asal MUH. [sumber]