Songlap Meneruskan Litar Antarabangsa dengan Tayangan Perdana di Australia Selatan
[dropcap]P[/dropcap]ada hari ini, 13 September 2013, filem Songlap, filem terbitan Grand Brilliance dan Red Films yang dipersembahkan oleh Primeworks Studios, akan membuat penampilan perdana Australia Selatannya di OzAsia Festival 2013. Filem tersebut, arahan Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak, akan ditayangkan menerusi seksyen OzAsia on Screen di festival ini.
Kini dalam edisi ketujuhnya, OzAsia Festival 2013 akan berlangsung dari 13 hingga 29 September 2013. Dianjurkan oleh pihak Adelaide Festival Centre, festival ini telah memilih negara Malaysia sebagai tema utama tahun ini. Budaya-budaya rakyat Malaysia yang berbilang kaum dirai menerusi beberapa pertunjukan muzik, tayangan filem, pameran makanan dan juga acara kesusasteraan.
Songlap mula menerima pengiktirafan antarabangsa sejak awal 2012 dengan tayangan di beberapa festival filem berprestij. Ini termasuk Far East Film Festival ke-14 di Itali, Filmfest Hamburg di Jerman, Abu Dhabi Film Festival, dan Deauville Asian Film Festival ke-15 di Perancis. Selain itu, filem ini ditayangkan di beberapa festival di Amerika Syarikat, seperti Los Angeles Asian Pacific Film Festival, Fort Lauderdale Film Festival, dan Frequency Film Festival di San Diego. Songlap juga telah diberikan penghormatan sebagai Filem Pembukaan di Five Flavours Film Festival di Poland Oktober lepas.
Tengku Iesta Tengku Alaudin, Pengurus Besar Grand Brilliance, berkata,
“Ia merupakan saat yang membanggakan untuk melihat filem-filem kami dinikmati oleh penonton-penonton di seluruh dunia, kali ini di Adelaide. Kami amat bersyukur terhadap pendedahan antarabangsa yang telah diterima Songlap. Semakin banyak filem-filem kami, termasuk Istanbul Aku Datang, KIL, dan Penanggal, yang mengikuti jejak langkah filem Songlap, menerusi tayangan-tayangan antarabangsa di Jepun dan Perancis. Dengan ini, kami gembira dapat mempamerkan bakat pembikin-pembikin filem Malaysia, dan akan terus berkongsi produksi-produksi terbaik kami dengan penonton antarabangsa.”
Filem Songlap berkisarkan kehidupan dua adik-beradik, dilakonkan oleh Shaheizy Sam dan Syafie Naswip, yang dibelenggu masalah harian sehingga terjebak dalam sindiket haram penyeludupan manusia. Ia akan membawa anda melalui lorong-lorong hitam di metropolis luas Kuala Lumpur dan pastinya meninggalkan anda penuh debaran sambil merasai pahit manis kehidupan yang mereka lalui.