PEMBENTUKAN imej penting bagi seseorang artis bagi memastikan penampilan mereka mampu memikat hati peminat. Memikirkan kepentingan itu, khabarnya di bawah pengurusan baru, beberapa bintang Akademi Fantasia (AF) yang dipilih untuk bernaung dengan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) akan diberikan imej.
Usaha ini diharapkan dapat memastikan penampilan artis AESB sentiasa kelihatan cantik, menarik dan segar. Untuk proses itu, SS dengar cerita, khabarnya sejumlah besar pelaburan untuk mengubah penampilan beberapa bintang ini sudah diperuntukkan.
Kalau tidak salah SS, menurut sumber yang menyampaikan berita ini, hanya ada enam orang bintang AF yang akan diberi keutamaan dalam proses mengubah imej dan penampilan. Bintang terbabit termasuk Mila, Stacy, Mawi, Marsha, Zahid dan terbaru juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF) Hafiz.
Pada SS usaha yang cuba dilakukan AESB ini bagus kerana untuk memastikan gaya bintang mereka sentiasa mencuri perhatian ramai, sedikit pelaburan harus dikeluarkan. Khabarnya juga sekarang ini AESB sedang mencari koordinator gaya mahupun pereka fesyen yang mampu melaksanakan tugas ini. Penampilan imej mereka ini pula perlu dikekalkan sepanjang tahun dan AESB mahu ada orang yang menjaganya.
Kalau benar apa yang SS dengar ini baguslah, sekurang-kurangnya nanti apabila hendak menghadiri majlis besar tidaklah bintang AF yang sudah punya nama ini tampil dengan baju yang entah apa-apa. Lebih parah lagi ada yang bergaya ala pengantin. Langsung tidak kena gaya. [sumber]