in ,

Ulasan Album Hijjaz Berkonsep Pop Rock Berjudul JANJI

[dropcap]K[/dropcap]umpulan nasyid Hijjaz bukan nama asing lagi di kalangan peminat nasyid tanah air dan jenama Hijjaz yang dibina sejak 1997 dengan kekuatan empat anggotanya, Mohd Faizal Osman, Isman Nadim Isam, Munif Ahmad dan Ariffin Rahim masih terus bertahan memperjuangkan hiburan yang mendidik jiwa. Diklasifikasikan sebagai artis nasyid senior, Hijjaz masih bersemangat terus berjuang dalam persada muzik tempatan walaupun hari ini industri nasyid dilihat agak suram. Namun terus memartabatkan industri nasyid yang telah sebati dalam jiwa mereka.

[pullquote align=”right”]Hijjaz memperjuangkan irama nasyid kontemporari sudah menjangkau usia 16 tahun di persada hiburan nasyid. Nama Hijjaz seiring dengan nama besar Rabbani dan Raihan.[/pullquote]

Hijjaz yang menampilkan konsep ‘hiburan mendidik jiwa’ berjaya menghasilkan lagu air tangan mereka sendiri yang bukan saja menarik bahkan terselit nasihat serta mengingatkan peminat terhadap Allah Yang Maha Esa dan Kekasih Allah Muhammad SAW. Antara lagu yang sentiasa mendapat permintaan dan dekat di hati peminat mereka ialah Rasulullah, Sumayyah yang sehingga ke hari ini lagu itu masih menjadi lagu wajib setiap kali Hijjaz mengadakan persembahan.

Hijjaz-Janji

HAMPIR tiga tahun, kumpulan Hijjaz tidak menghasilkan album penuh. Jangka masa yang panjang menyebabkan peminat ternanti-nanti penuh debar kemunculan album terbaru Hijjaz dengan idea yang lebih kreatif dan penghasilan muzik yang terkini dan segar.

Hijjaz yang baru pulang dari Gaza Palestin, telah berada di bumi penuh barakah itu selama 10 hari bermula 15 Feb sehingga 25 Feb 2013 lalu membawa semangat perjuangan umat Islam di sana. Pengalaman berada di sana memberi sejuta pengertian baru tentang perjuangan menegakkan agama Allah. Pengalaman yang sangat menginsafkan dan Hijjaz sangat mengagumi ketabahan, kesungguhan, kekuatan dan semangat umat Islam di sana memperjuangkan agama mengatasi segala-galanya.

Dengan semangat baru itu, Hijjaz tampil dengan album ke 17 mereka yang berjudul JANJI. Buah tangan istimewa khusus buat peminat setia mereka, Sahabathijjaz dan peminat muzik universal. Pembikinan album ini mengambil masa hampir setahun bagi memastikan kualiti lagu yang dipilih adalah yang terbaik dan tidak menghampakan mereka yang mendengar. Mereka sangat teliti dan rapi dalam perkara pemilihan lagu untuk dimuatkan di dalam album ini. Bagi Hijjaz, Janji adalah album yang sangat istimewa kerana koleksi lagu-lagunya mencerminkan kematangan seiring dengan pengalaman mereka di dalam industri.

Kali ini Hijjaz memilih JANJI sebagai tajuk album bukan hanya tajuk semata-mata. Hijjaz ingin menyampaikan mesej, kita sebagai manusia biasa yang telah berJANJI sedari alam roh lagi. Hijjaz menganggap Janji adalah satu perkara yang besar. Menunaikan janji adalah tanggungjawab kita sebagai insan.

Janji pertama kita kepada Allah semenjak di alam ruh lagi,

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil bertanya dengan firmanNya):

“Bukankah aku Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari Kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini” ( Surah Al-A’raf, Ayat 172 )

Malah setiap kali solat, 5 kali dalam sehari kita berjanji di dalam doa iftitah :

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah, Tuhan seluruh alam”.

Hijjaz ingin menyampaikan mesej JANJI yang sangat dekat dengan hidup kita sebagai manusia. Janji kita dengan Allah, Janji kita dengan manusia dan janji kita sebagai seorang khalifah, malah janji kita kepada Islam. Sesungguhnya perjuangan agama kita yang masih belum selesai. Kita manusia biasa yang banyak berjanji, sejauhmana kita menepatinya? Dengan itu Hijjaz ingin menyeru janji yang masih belum sempurna, kita sempurnakan. Janji yang masih tertangguh, kita laksanakan.

Keseluruhan lagu Hijjaz kali ini mempunyai perkaitan dengan subjek JANJI. Oleh sebab itulah, tajuk JANJI sangat tepat untuk menggambarkan album ini dan ia sangat istimewa.
Album ini berkonsep pop rock. Kali ini semua lagu di dalam album ini banyak mengetengahkan elemen gitar. Album JANJI yang memuatkan 9 buah lagu ini turut memuatkan lagu lama yang diberi suntikan baru, lebih segar dan lebih bertenaga.. Berikut adalah senarai lagu yang dimuatkan di dalam album istimewa ini:

  1. Kau Pemilik Cinta
  2. Janji Khalifah
  3. Laukana Bainana
  4. Hanyalah Iman
  5. Pemimpin 3 darjat
  6. Penghulu Syurga
  7. Harapan Ummah
  8. Akulah Pencinta
  9. Pemula Langkah

Ulasan  lagu-lagu yang terdapat di dalam album janji adalah seperti berikut:

1. Kau Pemilik Cinta
Lagu hasil ciptaan Munif Hijjaz @ Putra Aiman dan senilirik oleh Atie ini lagu khusus buat si isteri yang sentiasa disisi suami disaat suka. Rasa penuh kesyukuran di atas izin Allah menemukannya dengan seorang isteri yang solehah dan Janji suami yang kasihnya membawa ke syurga.

2. Janji Khalifah
Lagu ini adalah single pertama album Hijjaz hasil garapan Isman Hijjaz@ Manishelma, manakala liriknya oleh Atie. Lagu ini menceritakan tentang janji kita manusia sebagai seorang khalifah di muka bumi Allah. Kita wajib sematkan apa yang telah kita janjikan sebelum kita kembali kepadaNya.

3. Lau kana Bainana
Lagu lama ini diterbitkan semula oleh Munif Hijjaz. Lagu yang mampu menitiskan airmata tatkala membayangkan andai Rasulullah SWT itu masih bersama kita. Rasa rindu kepada kekasih Allah mestilah sentiasa disemarakkan sekalipun Baginda tidak bersama kita.

4. Hanyalah Iman
Lagu ciptaan Ariffin Hijjaz ini disempurnakan penulisan liriknya oleh penulis lirik tersohor Habsah Hassan. Menceritakan tentang Iman yang menjadi pelindung diri seorang muslim. Kedudukannya paling teratas mengatasi ketinggian kedudukan harta, pangkat, ilmu di dunia, pengalaman hidup dan emosi. Ianya penghubung kita insan yang lemah dan Pencipta Teragung Allah SWT. Beza sesama manusia hanyalah Iman.

5. Pemimpin 3 Darjat
Lagu ini hasil ciptaan Munif Hijjaz @ Putra Aiman dan senilirik oleh Abu Nizam menceritakan tentang pemimpin yang memimpin mengikut landasan syariat Islam yang sebenar pasti membawa kebaikan.

6. Penghulu Syurga
Lagu dedikasi buat kekasih Allah Nabi Muhammad SAW ini hasil ciptaan sepenuhnya Faizal Hijjaz @ Abai Os. Rindu, Doa dan harapan untuk bertemu Rasulullah yang merupakan penghulu syurga.

7. Harapan Ummah
Lagu Harapan Ummah ini adalah lagu lama yang diberi nafas baru sesuai untuk halwa telinga hari ini sambil menyampaikan mesej harapan umat Islam kepada pemuda dan pemudi dalam menegakkan agama Islam.

8. Akulah Pencinta
Lagu ini hasil ciptaan Faizal Hijjaz @ Abai Os dan lirik oleh Atie. Jika melihat pada tajuk lagu, mungkin ada yang terfikirkan adakah lagu ini lagu cinta. Benar, lagu ini lagu cinta seorang insan kepada penciptanya.

9. Pemula Langkah
Lagu ini adalah OST Siri Animasi Saladin. Lagu Ciptaan Munif Ahmad sementara lirik oleh Atie. Bait kata dalam lagu ini sangat puitis mengisahkan tentang pengembaraan perjalanan hidup kita yang penuh cabaran. Kita perlu kuat menghadapai dugaan yang mendatang kerana hakikat kehidupan tidak semudah yang dirancang.

Album ini menjadi sangat istimewa apabila kali ini, bukan hanya Munif Ahmad seorang sebagai solo, peminat juga boleh mendengar suara ahli Hijjaz yang lain, Isman, Faizal dan Ariffin. Besar harapan Hijjaz, lagu-lagu di dalam album ini dapat diterima dengan baik oleh semua pihak termasuk media, tv, radio, suratkhabar dan majalah. Kami juga mensasarkan album ini untuk semua, tidak terhad kepada peminat nasyid sahaja dan misi Hijjaz untuk mengembalikan zaman kegemilangan irama nasyid memerlukan sokongan dan dorongan dari semua pihak.

Penampilan Hijjaz untuk album ini telah mendapat khidmat nasihat perunding imej KK Chiia dari Mysuit Build Business bagi memastikan ianya bersesuaian dengan konsep album Hijjaz kali ini yang lebih kemas, segak dan bergaya. Mysuit turut menaja sut dan kot untuk kulit muka album Janji dan mereka juga akan tampil dengan pakaian tajaan Mysuit di sepanjang promosi album ini berjalan.

Kehadiran Album baru ini bersama jenama baru, Rusa Marketing Sdn Bhd sebagai pengedar utama bukan sahaja album ini malah keseluruhan produk terbitan Hijjaz Records Sdn Bhd. Kerjasama ini terjalin bagi melebarkan ruang lingkup pemasaran setiap album terbitan Hijjaz Records Sdn Bhd lebih menyeluruh selain mengadakan perancangan promosi bukan sahaja tertumpu di dalam negara, malah kami mensasarkan untuk melebarkan sayap ke Singapura, Brunei dan menongkah arus menembusi pasaran Indonesia.

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan album Hijjaz – Janji di pasaran dengan harga hanya RM 25.90 terbitan Hijjaz Records Sdn Bhd dan kini boleh juga didapati di rangkaian MVM Home di seluruh negara dalam masa terdekat.
Maklumat lanjut tentang album Janji Hijjaz dan juga produk-produk terbitan Hijjaz Records Sdn Bhd, boleh layari laman sesawang www.hijjazrecords.com , Facebook “Hijjaz” dan youtube HijjazRecords HijjazChannel

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Fasha Sandha & Anzalna Nasir Undang Kontroversi

Betul Ke Alyah & Ramli MS Kahwin Senyap-Senyap?