Di dalam Berita Harian, ruangan Hip pada hari ini, pelakon Nabila Huda mengakui yang dia tak serik untuk bercinta selepas kegagalan rumah tangga dan cintanya sebelum ini. Sekaligus Nabila menafikan dirinya takut kepada komitmen sehingga menyebabkan dua hubungan terbabit gagal bertahan lama.
Sebaliknya, dia yang sudah biasa berdikari sejak di bangku sekolah menjadikan alasan sibuk sebagai faktor yang mendorong kepada perpisahan.
Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2013 ini bagaimanapun mengaku tidak serik untuk bercinta, pada masa sama tidak terburu-buru mencari pengganti.
Sebaliknya, buat sementara waktu, Nabila yang baru putus kasih dengan pelakon, Nas-T, mahu memberikan fokus kepada kerjaya lakonan yang kian berkembang, selain permata hatinya.
“Andai ditakdirkan bertemu lelaki sesuai, saya tidak mahu bercinta lama-lama, sebaliknya ingin terus bernikah. Selama ini pun saya bukanlah jenis yang mudah jatuh cinta. Bersama bekas suami dulu, lama juga kami bercinta. Saya tidak pernah dikaitkan dengan lelaki lain ketika bersama dengannya. Setelah beberapa tahun berpisah, barulah saya kembali bercinta, tetapi sayangnya hubungan dengan Nas-T tidak berpanjangan. Kami masih baik dan saya masih sayangkan dia sebagai kawan. Begitupun, apa yang berlaku pada hubungan kami biarlah menjadi rahsia. Saya tidak suka bercerita terlalu terperinci. Biar sedikit kisah hidup saya menjadi rahsia peribadi. Andai ditakdirkan bercinta kembali, saya tidak akan menyembunyikan daripada pengetahuan umum.
“Sebenarnya, saya tidak suka menjaja kisah cinta. Bila ada yang bertanya, saya akan menyatakan perkara sebenar. Saya tidak pandai berselindung, lagipun apa perasaan pasangan sendiri jika saya menafikan perkara yang benar.”
Nabila kini memulakan ibadat puasa di perantauan apabila menjayakan penggambaran drama bersiri, Jodoh Itu Milik Kita, di New Zealand sejak lebih seminggu lalu. Selamat berpuasa Abil!