[dropcap]G[/dropcap]ara-gara dilanda kontroversi mahu kahwin lagi, pelakon Ashraf Muslim mengakui hidupnya agak tertekan. Stress. Dugaan betul. Kesian pulak Budiey kat Ashraf Muslim ni. Budiey harap, Ashraf Muslim bersabar dan bertabahlah menghadapi dugaan hidup ni. Ala, sekejap je ni, tak lama lah. Semalam, semasa Majlis Pelancaran Seindah Ramadan anjuran TV3 di Restoran Al-Rawsha, Budiey sempat berjumpa dan bertanya khabar. Ye lah, lama betul tak jumpa dia. Masa kahwin pun dia tak jemput. Jumpa kat event je lah.
Menurut Ashraf, walaupun keluarga di sebelah pihaknya dan isteri Noor Dayana Lokman, tahu hal sebenar, tapi isu poligami itu membuatkan orang ramai selalu bertanya tentang hal ini. Betul ke dia akan kahwin kali kedua?
“Kalau gosip terkena pada saya sahaja, saya sudah biasa. Tetapi apabila melibatkan keluarga ia menjadi sukar kerana keadaan menjadi berbeza. Kontroversi saya mahu berkahwin lain juga membuatkan saya tertekan. Alhamdulillah sebagai seorang lelaki dan suami, saya ada cara untuk mengatasi masalah ini. Saya juga kecewa dengan orang yang tak tahu apa-apa fasal kami bercakap dan menyebarkan gosip tentang kami.”
Pada pertengahan bulan lalu, Ashraf dikatakan telah ke sebuah mahkamah syariah bagi mengambil borang permohonan untuk berpoligami. Pelakon itu berdiam diri dan enggan membuat sebarang kenyataan sehinggalah pada minggu lalu Ashraf mengakui kepada Kosmo! ada berkunjung ke mahkamah tersebut tetapi enggan mengulas lanjut tujuan dia berbuat demikian.
Tambah Ashraf mujurlah perhubungan antara dia dan keluarga mertuanya masih lagi baik apabila mereka memahami situasi Ashraf sebagai selebriti. Dalam pada itu dia juga menyifatkan berdiam diri daripada membuat sebarang kenyataan lebih baik daripada menjelaskan hal sebenar dan dia percaya isunya itu lama-lama akan hilang dengan sendiri.
“Menjadi hal saya sama ada mahu menjawab sesebuah kontroversi yang berlaku ataupun tidak. Bagi saya isu poligami sangat sensitif walaupun ia boleh menjerumuskan ke arah kebaikan. Tetapi bukan hak saya juga untuk menghalang orang ramai daripada bercakap. Jadi lebih baik saya mendiamkan diri.”
Ashraf dan Noor Dayana bernikah pada 30 Ogos 2011 bersamaan dengan 1 Syawal di Mekah.