SINOPSIS HARU BIRU
Kid (QUE HAIDAR) seorang eksekutif muda, Ariyana (DYNAZ) seorang model, dan Dani (IJOY AZHARI) seorang jurufoto bebas, adalah tiga remaja yang bersahabat. Hubungan ini kemudiannya dibebani oleh perasaan cinta yang tersembunyi, lantas menimbulkan konflik yang meruntuhkan persahabatan mereka. Dalam diam Kid menjalinkan hubungan cinta dengan Ariyana dan membelakangi Dani.
Kepura-puraan ini terbongkar apabila Suzi (BETTY BANAFE), perempuan simpanan Big Daddy, yang juga bekas kekasih Kid muncul kembali menagih harapan dari Kid. Suzi menghalang perhubungan Kid dan Ariyana kerana dia juga mahu Kid membantunya melarikan diri dari Big Daddy. Ariyana kecewa dengan tindak-tanduk Kid, lantas memutuskan perhubungan mereka berdua. Kini Dani pula menghilangkan diri setelah rasa dikhianati dan diperbodohkan oleh Kid, malah Ariyana sendiri.
Atas tekanan dan godaan Suzi, Kid terpaksa juga membantu Suzi melarikan diri. Namun tidak semudah itu. Abang Kecik (EMAN MANAN), orang paling kanan Big Daddy mula menjejaki mereka. Keadaan semakin genting apabila tindakan-tindakan mereka menjadi haru biru dan di luar kawalan.
Konflik kemanusiaan dalam perhubungan, persahabatan, percintaan, pengaruh dadah dan perempuan simpanan, dipaparkan menerusi isu-isu sosial, gaya hidup, skandal serta gangsterism. HARU BIRU – membawa anda kesudahan yang di luar jangkaan.
Tajuk: Haru Biru
Tahun: 2006
Durasi: 90 Minit
Format: Filem 35mm (Mini Dv Kinetransfer To 35mm)
Terbitan: Pengedaran J.A.S Sdn Bhd
Penerbit Eksekutif: Raja Azmi Jalani
Penerbit: Adlin Aman Ramlie / Amir Yusoff
Pengarah: Shadan Hashim
Penulis Skrip: Adlin Aman Ramlie
Pengarah Fotografi: Azman Razali
Editor: Shadan Hashim
Pengarah Seni: Ted Adzelan
Sound Designer: Johan John
Music: Roslan Aziz
Filem ini akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 26 Julai 2007.
KENYATAAN PENGARAH
Tercetusnya niat untuk mengarah filem HARU BIRU ini ialah kerana saya tertarik dengan nilai-nilai yang ada pada jalan cerita filem ini yang menceritakan kehidupan remaja Kuala Lumpur sekarang berumur sekitar 20an dan jujur terhadap isunya yang berlegar di alam remaja itu sendiri. Tagline yang saya pegang untuk filem ini ialah “budak-budak sekarang” dan “dari remaja untuk remaja”. Maka nafas remaja menjadi tenaga untuk menolak cerita. Oleh kerana saya ingin membawa penonton merasai dan berkongsi pengalaman remaja-remaja bermasalah ini secara langsung dan intim, saya telah memilih gaya penceritaan yang realistik dan dialirkan di dalam genre Indie.Jika kita sensitif terhadap selera masa kini, filem-filem genre ini semakin mendapat sambutan dan bakal menguasai pasaran akan datang. Tetapi filem HARU BIRU sebenarnya tidak direka dengan niat untuk memenuhi kehendak pasaran. Secara jujurnya jalan cerita serta nilai-nilai yang ada pada filem ini memang kebetulan sangat sesuai dan sangat natural untuk hidup dalam aliran genre filem Indie itu sendiri. Selain memenuhi kehendak cerita, matlamat saya ialah untuk mengatasi fear factor yang biasa terdapat dalam filem-filem kita sekarang iaitu lakonan buruk serta lontaran dialog yang lemah. Oleh itu, saya telah mengadakan latihan lakonan kendalian Adlin Aman Ramlie selama 3 bulan untuk pelakon-pelakon utama supaya mereka dapat menghasilkan lakonan yang mantap, bermutu dan bertenaga seperti lagak dan jiwa remaja itu sendiri.
Kegemilangan zaman remaja hanya seketika. Semangat serta tenaga mereka jika dibazirkan ke arah perkara yang tidak berfaedah bakal mengundang bahaya. Pengalaman-pengalaman buruk dan kesilapan congak mereka dalam menjalani kehidupan itu sahaja yang boleh menjadi pengajaran terbaik untuk mereka menjadi manusia yang insaf di masa akan datang. Sudut pandangan ini yang saya pilih untuk digarap dan menjadi tulang belakang filem HARU BIRU.
PROFAIL BIODATA PENGARAH HARU BIRU
Shadan Hashim
Shadan Hashim 31 tahun, memulakan karier dalam bidang filem pada tahun 1995 apabila bertugas sebagai visualiser di sebuah syarikat penerbitan filem animasi, Peninsular Pictures Sdn Bhd. Di situ dia banyak terdedah dan menimba pengalaman tentang teknik-teknik animasi dan pengarahan. Kemudian bertugas di syarikat Pengedaran JAS Sdn Bhd sebagai animator pada 1997. Di sini bakat anak muda yang berasal dari Kuala Lumpur ini mula menyerlah. Setahun kemudian ketika hanya baru berumur 23 tahun, beliau telah ditawarkan oleh pihak pengurusan untuk menyandang jawatan pengarah animasi untuk projek siri animasi tv, Anak-Anak Sidek. Siri animasi tersebut mendapat sambutan hangat dari penonton dan menerima anugerah animasi terbaik di Anugerah Multimedia dan Anugerah PPFM pada waktu beberapa tahun tayangannya di RTM. Memiliki Diploma of Filmmaking dari New York Film Academy pada tahun 2000 dan seterusnya mengarahkan filem sulungnya terbitan Pengedaran JAS, “Cinta 200 Ela” pada tahun 2001, iaitu seawal umur 26 tahun. Shadan Hashim juga telah menghasilkan dua VCD Movie genre seram bertajuk “Jembalang yang Hilang” dan “Volkswagen Kuning” pada tahun 2003. Pada tahun 2004, dia kembali mengarahkan siri animasi tv Anak-Anak Sidek. Selepas itu, pada penghujung 2005, dia telah bekerjasama dengan pengarah U-wei HjSaari sebagai pembantu pengarah dan juga editor untuk projek filem pendek “Sepohon Rambutan Indah Kepunyaanku Di Tanjung Rambutan” yang telah pun mengangkat nama negara di festival filem Cannes 2006. Kini Shadan Hashim bertugas sebagai pengarah filem residen di Pengedaran JAS Sdn Bhd dan bakal muncul dengan filem terbaru terbitan syarikat itu sedikit masa lagi bertajuk “HARU BIRU”. Projek terbarunya bersama Pengedaran JAS Sdn Bhd ialah filem “Anak-Anak Sidek The Movie” yang sekarang dalam status pra-produksi.
DIRECTOR
Anak-Anak Sidek (1997-2004) animasi tv
Cinta 200 Ela (2001) feature film
Jembalang Yang Hilang (2003) vcd movie
Volkswagen Kuning (2003) vcd movie
Haru Biru (2006) feature film / completed
Anak-Anak Sidek The Movie (2007) feature film / pre production
EDITOR
“The Unmaking Of Buai Laju-laju” (2004) featurette
Sepohon Rambutan Indah (2005) short film
Haru Biru (2006) feature film
ASSISTANT DIRECTOR
Sepohon Rambutan Indah (2005) short film
PROFAIL PENERBIT EKSEKUTIF
Raja Azmi Jalani
Anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak. Raja Azmi mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Kamunting, Taiping sebelum beralih ke aliran Inggeris di Sekolah Menegah Puteri dan Menebgah Treacher Methodist Girls School, Taiping Perak. Memulakan karier sulungnya berkhidmat sebagai pramugari Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan terus menceburkan diri dalam dunia perniagaan lalu berkahwin dengan pemain badminton Negara Jalani Sidek. Sejak itu bergelar Raja Azmi Jalani. Sewaktu mengikut kursus intensif dalam pengurusan perniagaan di Christchurh College, New Zealand pada tahun 1991, Raja Azmi Jalani mula berminat menceburkan diri dalam bidang penulisan lalu telah menerbit berbagai-bagai tajuk majalah, buku, novel, komik, siri animasi, telefilem VCD dan filem cereka atas syarikat penerbitannya iaitu Pengedaran JAS Sdn Bhd.
SENARAI PENULISAN:
1992 – Novel “Black Widow”
1993 – Skrip & Filem “Black Widow”
1994 – Buku “Tangkis”
1995 – Komik & TV berepisod “Anak-anak Sidek”
1996 – Novel “Jendela Putih”
1997 – Buku “Jijik”
1999 – Skrip filem ceraka “ Cinta 200 Ela”
2002 – Skrip telefilem “Jembalang yang hilang”
2003 – Skrip telefilem “Volswagen Kuning”
2005 – 2006 Skrip filem “Anak-anak Sidek”