PERUBAHAN TERBAHARU WAKTU SIARAN BERITA TV2 DI RTM
Siaran berita Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil yang disiarkan menerusi TV2 sememangnya memiliki pengikutnya tersendiri bagi mengikuti berita-berita terkini dan perkembangan terbaharu yang berlaku samada di dalam dan luar negara.
Justeru siaran berita tiga bahasa itu dapat diikuti setiap hari hingga penghujung Disember 2008 lalu iaitu berita Inggeris (jam 12.00 hingga 12.30 tengah malam), berita Mandarin (jam 12.00 hingga 12.30 tengah hari dan jam 8.00 hingga 8.30 malam) dan berita Tamil (jam 8.30 hingga 9.00 malam). Manakala Galeri Perdana Mandarin disiarkan lima minit iaitu dari jam 7.55 hingga 8.00 malam, setiap Isnin hingga Jumaat.
Namun mulai 1 Januari 2009 lalu, pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menyiarkannya menerusi TV1 sebelum kemudiannya pada 20 April 2009 lalu, siaran berita ini kembali bersiaran menerusi TV2.
Penukaran waktu itu turut meliputi berita tiga bahasa iaitu Berita Mandarin, Tamil dan Inggeris yang kembali disiarkan pada jam 6.00 petang (Tamil), jam 12.00 tengah hari dan 6.30 petang (Mandarin) dan 08.00 malam (Inggeris). Manakala Galeri Perdana Mandarin pula disiarkan pada jam 12.20 tengah hari setiap Isnin hingga Jumaat.
Begitu pun mulai 1 Mei 2009 ini, RTM sekali lagi melakukan perubahan pada jadual waktu siaran beritanya dengan menyiarkan berita bahasa Inggeris (jam 7.00 hingga 7.30 malam), berita Tamil (jam 7.30 hingga 8.00 malam) dan berita Mandarin (jam 8.00 hingga 8.30 malam setiap hari). Penambahan pula berlaku pada berita Inggeris (Daybreak) yang disiarkan semula seperti sebelum berlakunya perubahan 20 April 2009 lalu iaitu disiarkan sepanjang setengah jam setiap hari pada jam 7.00 hingga 7.30 pagi. Sementara Galeri Perdana Mandarin dikekalkan siarannya pada jam 12.20 tengah hari setiap Isnin hingga Jumaat.
Berikutan perubahan jadual siaran berita yang berlaku, jadual siaran slot-slot program menarik TV2 juga turut mengalami perubahan mulai 1 Mei 2009 ini.
Slot Golden Phoenix yang menyiarkan drama-drama bersiri Cina akan diawalkan siarannya iaitu jam 6.00 petang setiap hari Isnin hingga Khamis manakala Slot Drama Melayu pula menemui penonton jam 8.30 malam setelah tamat siaran Berita Mandarin.
Kepada penonton setia drama bersiri Indonesia, Wulan pula akan bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 3.00 hingga 4.00 petang. Manakala siaran drama menarik Gelora Di Hati Sara yang mengisi slot Koleksi @ 2 pula disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 1.30 hingga 2.30 petang. Malah perubahan turut melibatkan slot tontonan ramai, Teater Legenda yang kini menemui penonton setiap hari Isnin jam 9.30 malam. Begitu juga program The Bold & The Beautiful (drama bersiri Inggeris) yang sebelum ini disiarkan jam 3.30 petang kini disiarkan jam 1.00 pagi setiap Isnin hingga Khamis.
Program terbaharu yang mula mendapat tempat di hati penoton terutama dikalangan remaja iaitu Gadis Kosmo dikekal setiap Rabu dan dipercepatkan siarannya iaitu jam 9.30 malam. Manakala program Gerak Khas juga kekal hari Jumaat namun berubah siaran jam 10.30 malam.
Teruskan bersama saluran Dunia Ria, TV2 untuk mengikuti berita Inggeris, Mandarin dan Tamil selain program-program menarik tontonan seisi keluarga.