Apa yang menarik sangat dengan drama lakonan Raja Farah dan Mustapha Kamal ini? Ya, saya akui ada kelainan dari segi pengarahan dan visual drama ini di kaca TV.
Apa tidaknya, drama ini menggunakan khidmat pengarah India bernama Dinesh Samby yang terkenal dengan gerakan kamera yang memang lazimnya kita dapat tonton dalam filem tamil dan drama sinetron dari Indonesia.
Bukan mengenepikan bakat pengarah tempatan, tetapi sebelum ini pun Dinesh pernah mengarah drama Astana Idaman dan Aku Untukmu. Plot penceritaan ringkas, dialog yang tak banyak songeh dan berjela-jela membuatkan penonton senang memahami drama ini. Itu belum lagi disentuh dengan skrip yang begitu dramatik dan mengundang air mata dari penonton. Pelakon Maya dan Roy Azman diberi watak antagonis dalam drama ini.
Duranni merupakan kisah sedih kehidupan dua beradik bernama Duranni dan Sybil yang melalui perjalanan hidup berbeza akibat terpisah sejak kecil. Kehidupan mereka menjadi keruh apabila dipertemukan kembali.
Untuk 13 episod pertama, Raja Farah sebagai Duranni yang berusia 16 tahun. Durrani kecewa bukan sahaja kerana novelnya ditolak oleh pihak penerbitan tetapi juga apabila bapanya berkahwin lain dengan seorang wanita muda yang jahat.
Raja Farah cuma dapat muncul pada 13 episod pertama sahaja. Kemudian, watak Durrani akan dipegang oleh orang lain untuk menggambarkan 3 latar masa yang berbeza.