Bagi mengembangkan dan mempopularkan lagu-lagu patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan menganjurkan Pertandingan Mencipta Lagu 1 Malaysia.
Pertandingan mencipta lagu 1 MALAYSIA berdasarkan konsep yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia berteraskan ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’ ini juga bertujuan bagi meningkatkan aspirasi dan minat pencipta lagu terhadap penciptaan lagu patrotik selain melahirkan semangat patriotisma dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pertandingan ini adalah terbuka kepada semua pencipta lagu amatur atau profesional dimana lagu hendaklah ciptaan asal dan tidak melebihi jangka masa dua ( 2 ) minit dan penyertaan adalah tidak terhad.
Peserta boleh menggunakan khidmat penulis lirik tetapi hanya pencipta lagu diterima sebagai peserta manakala ciptaan lagu adalah bebas. Penilaian akan diberikan kepada aspek kreativiti melodi yang bermutu, bernilai komersil dan menepati konsep serta mampu menarik minat semua golongan.
Manakala lirik pula hendaklah menggabungkan konsep ‘ 1 MALAYSIA ’ merangkumi penyatuan kaum, kasih sayang, cintakan negara dan pembinaan negara bangsa tanpa menyentuh sensitiviti perkauman, agama dan politik.
Penyertaan mestilah disertakan dalam bentuk CD dengan rakaman suara menggunakan sekurang-kurangnya satu alat muzik iringan atau menyertakan skor piano dengan lirik di bawah melodi. Lampiran lirik juga perlu disertakan di dalam kertas berasingan.
Lagu-lagu yang terpilih ke peringkat akhir sahaja akan menjadi hak milik Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Pihak penganjur berhak mengubahsuai lirik mengikut kesesuaian dengan konsep ‘Satu Malaysia’.
Menariknya bakal pemenang dijanjikan hadiah RM10,000.00. Manakala empat hadiah sagu hati RM2,500.00 setiap seorang.
Tarikh tutup penyertaan ialah pada 15 Jun 2009 dan penyertaan hendaklah dihantar terus ke alamat Penerbit Pertandingan Mencipta Lagu 1 Malaysia, Bahagian Perkhidmatan Muzik, Tingkat 1, Bangunan Rentak 50, Angkasapuri, 50614 Kuala Lumpur.
Borang penyertaan bolehlah didapati di semua Jabatan Penyiaran RTM atau Jabatan Penerangan negeri yang berhampiran dengan tempat anda ataupun dengan melayari www.moi.gov.my atau www.orkestrartm.my.