Seluruh penonton di dalam Dewan Sri Putra di Bukit Jalil tergamam seketika apabila mendengar pengumuman pelajar favourite, Hairil Azam Pilus atau Aril, 24, telah tersingkir daripada Akademi Fantasia 7 (AF7), sebentar tadi. Satu keputusan yang mungkin menimbulkan seribu tanda tanya, mengapa Aril?
Melalui penyingkiran Aril, ramai pihak yang tidak berpuas hati lantas menduga mungkinkah akan ada undian AF masuk?
Bagaimanapun, Pengurus Saluran Astro Ria Khairul Mizan Shagul mewakili pihak Astro tidak menidakkan mahupun mengiyakan telahan itu sebaliknya meninggalkan persoalan tersebut dalam bentuk tanda tanya.
“Saya tidak dibenarkan membuat pengumuman itu (AF masuk). Apa yang saya boleh katakan, kita sentiasa mendengar suara pelanggan dan peminat AF dan meninggalkan ia dalam bentuk dot dot dot…,” kata Khairul Mizan sejurus berakhirnya konsert tersebut.
Bukan sahaja penyokong Aril yang popular dengan tagline ‘Best Wok’ tetapi barisan tenaga pengajar serta pengkritik juga terkejut dengan keputusan itu kerana persembahan Aril cukup hebat dan bertenaga apabila menyanyikan lagu kumpulan Gigi, Nakal.
Mendengar keputusan hos AC Mizal yang turut menangis dan memeluk Aril itu, Cikgu Siti Hajar Ismail terus menitiskan air mata manakala pengkritik Adlin Aman Ramli, Dato’ Khadijah Ibrahim serta Adibah Noor, kelihatan menggeleng-gelengkan kepala mereka.
Aril yang mendendangkan lagu Nakal oleh Gigi hanya mampu bertahan sehingga minggu ke-7 setelah mendapat undian 11 peratus menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diadili 100 peratus oleh penonton.
Sehingga siaran langsung konsert itu selesai pun, ramai penonton tidak berganjak daripada tempat duduk mereka dan masih tertanya-tanya apakah yang telah berlaku. Adakah ia berpunca daripada sikap Aril yang dilihat dalam Diari AF atau disebabkan kehadiran Marsha yang kelihatan intim dengan Aril di dalam akademi?
Apapun puncanya, yang jelas itulah keputusan muktamad penonton Af7 malam tadi yang pastinya mengecewakan ramai peminat Aril. Sejarah AF juga berulang semula kepada Aril kerana pada musim terdahulu beberapa pelajar kegemaran ramai tersingkir seperti Rosma, Dafi, Aizat dan Rich.
Dalam pada itu, ditanya adakah Aril berharap AF7 akan membuka peluang kepada penonton membuat AF masuk, dia menjawab, ‘Itu saya tak tahu nak cakap sebab terpulang kepada pihak Astro. Saya nak buat macam mana..’
Sementara pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina yang pada mulanya kelu lidah untuk berkata-kata akhirnya menyuarakan reaksinya tentang penyingkiran Aril.
“Memang kami di fakulti tidak jangka Aril akan keluar. Dia merupakan pelajar paling rajin, dedikasi dan antara bakal ikon yang ingin kami lahirkan menerusi AF7 kerana dia ada pakej yang hampir lengkap dan ada ruang dalam industri seni ini.
“Unfortunately, kita tidak tahu apa voters nak…walau apa pun, kami menganggap Aril tetap ikon,” tutur Tiara yang agak sedih dengan pemergian Aril dari AF7.
Peratusan pelajar sebelum konsert bermula:
Isma – 25 peratus, Yazid – 19 peratus, Hafiz – 14 peratus, Aril – 12 peratus, Akim – 10 peratus, Claudia – 10 peratus dan Aishah – 10 peratus.
Peratusan pelajar selepas undian ditutup:
Hafiz – 17 peratus, Isma – 17 peratus, Aishah – 15 peratus, Yazid – 15 peratus, Akim – 14 peratus, Claudia – 11 peratus dan Aril – 11 peratus.
Dari segi persembahan, pelajar malam tadi terutama lelaki memberikan showmanship yang menarik. Persembahan pelajar lelaki malam tadi adalah Yazid (With Or Without You/ U2), Hafiz (Kau Yang Punya/ Malique & Najwa) dan Akim (Situasi/ Bunkface).
Manakala persembahan pelajar wanita pula ialah Claudia (When You’re Gone/ Avril Lavigne), Aishah (Flora Cinta/ Min Malik) dan Isma (Tak Mungkin Kerana Sayang/Alyah). Selain lagu-lagu terbaru, konsert minggu ke-7 itu menyelitkan nostalgia buat penonton kerana mempersembahkan nyanyian berkumpulan semua pelajar menerusi lagu Fiona (4U2C) dan Untukmu (Feminin).
Dengan penyingkiran Aril maka tinggal 6 lagi pelajar yang bakal meneruskan perjuangan sebagai juara AF7. [sumber] dan [sumber]