Aktres cantik, Lisa Surihani berkolaborasi bersama pereka fesyen terkemuka Malaysia, Jovian Mandagie untuk menghasilkan koleksi ‘Lisa Surihani for Jovian’ khas sempena Aidilfitri 2013 ini. Menampilkan 20 rekaan hasil ilham Lisa dan Jovian, penglibatan Lisa dalam koleksi rekaan tersebut memberikan dimensi berbeza dalam koleksi pakaian rekaan Jovian sekaligus menyerlahkan sisi personaliti Lisa dalam setiap rekaan.
“Saya akui saya bukannya seorang yang ‘fashionista’. Apabila Jovian datang menawarkan peluang untuk bekerjasama, pada mulanya saya kurang yakin dengan kebolehan yang saya ada. Namun begitu, sebagai seorang yang suka mencuba, saya sahut tawaran yang Jovian berikan. Mula-mula saya fikirkan Jovian hanya mahu saya memperagakan koleksi terbaru darinya, namun telahan saya silap. Saya bukan memperagakan koleksi tersebut, tetapi saya juga terlibat dalam proses pembikinan setiap rekaan yang dihasilkan. Baik dari segi rekaan, pemilihan fabrik, warna, material dan sebagainya,” ulas Lisa ketika ditemui di majlis prebiu ‘Jovian Flagship Store’ di Bangsar, pada Rabu.
“Mungkin dengan adanya pengalaman ini, saya akan memperluaskan pengetahuan saya mengenai dunia fesyen. Saya pun tak sangka, dalam banyak-banyak artis di Malaysia ini, Jovian telah memilih saya untuk berkolaborasi. Kami sama-sama duduk semeja dan berbincang mengenai rekaan yang dihasilkan,” jelas Lisa yang pernah muncul dalam drama bersiri ‘Adamaya’ ini.
Setiap rekaan yang dihasilkan oleh Jovian diilhamkan oleh Lisa sendiri. Lisa mengambil inspirasi daripada orang-orang yang dekat dengannya.
“Saya sangat teruja untuk berkongsi apa yang saya rasakan sangat rapat dan sentimental buat saya. Contohnya, rekaan-rekaan tersebut diinspirasikan daripada orang yang sangat rapat dengan saya, seperti ibu, nenek, dan teman baik saya. Nama tersebut pun dinamakan sempena nama mereka, contohnya Mira, Maimunah, Norkiah, Jihan dan Maznah,” ulas Lisa mengenai inspirasinya untuk rekaan yang dihasilkan oleh Jovian ini.
Dalam perkembangan lain, isteri kepada Yusry Abdul Halim ini baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem arahan Bernard Chauly, ‘Manisnya Cinta di Cappadocia’ di samping Shaheizy Sam, Nur Fazura dan Faizal Hussein. Selain itu, Lisa sedang menantikan dua filem lakonannya iaitu ‘Ular’ dan ‘Dendam Orang Mati’ yang bakal ke pawagam tidak lama lagi.