[dropcap]S[/dropcap]etelah mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa serta perhatian dunia yang secara tidak langsung telah meletakkan Malaysia di mata dunia dalam sejarah penyiaran tempatan menerusi program Imam Muda, Astro Oasis berbesar hati untuk berganjak selangkah ke kehadapan dengan memperkenal sebuah program keislaman yang bakal mencetuskan fenomena terbaru berjudul Pencetus Ummah yang akan memulakan sesi ujibakat tidak lama lagi.
[pullquote align=”right”]Program terbaru cari pendakwah, Astro Oasis teruskan legasi bentuk generasi muda berakhlak mulia[/pullquote]
Bersesuaian dengan judulnya, Pencetus Ummah bakal meneruskan legasi untuk membentuk masyarakat terutamanya generasi muda ke arah perilaku yang lebih baik dan berakhlak mulia. Sepanjang program ini, para peserta bakal dilengkapkan dengan pelbagai ilmu oleh tokoh terkemuka yang bertauliah dan berpengalaman. Penekanan akan diberikan kepada kemahiran pengucapan awam dan keupayaan menerbitkan karisma dalam penyampaian dakwah secara berhemah.
Seramai sepuluh orang peserta terbaik yang terpilih bakal memberikan ceramahnya setiap minggu di Medan Pencetus Ummah. Mereka perlulah menonjolkan kualiti pengucapan awam terbaik untuk memikat hati juri dan para penonton dalam jangka masa yang diberikan. Persembahan terbaik dan paling meyakinkan akan mempengaharuhi permakahan juri. Selain mendapat bimbingan daripada Mudir dan Mursyid yang berpengalaman, para peserta juga akan dilatih oleh tokoh pendakwah terkemuka dan barisan pengacara terbaik negara.
Pengurus Saluran Astro Oasis, Haji Izelan Basar berkata,
“Pencetus Ummah merupakan inisiatif terbaru Astro dalam memberikan pendekatan kerohanian dan pemahaman sebenar tentang Islam melalui program yang diterbitkan mengikut acuan dan formula yang tersendiri. Program ini juga bukti testimonial Astro dalam menerbitkan program-program ilmiah dan tidak tertumpu kepada elemen hiburan semata-mata. Bertepatan dengan judulnya, kami berharap program ini bakal mencetuskan perubahan ke arah pembentukan ummah atau masyarakat yang lebih baik.
Usaha murni yang ingin dicapai melalui pelbagai program di saluran ini belum terhenti. Kejayaan Imam Muda, penerbitan Khabar Haji dan drama siri Tanah Kubur yang begitu sinonim dengan saluran ini menjadi pemangkin kepada kehadiran lebih banyak program kerohanian dan keislaman di pasaran. Ini secara tidak langsung memberi sinar baru kepada para penonton yang sentiasa dahagakan program-program keislaman sebagai santapan rohani mereka”.
Bagi mereka yang berminat untuk menjadi pelapis dan penyambung warisan serta memikul tanggungjawab sebenar sebagai pendakwah muda, dijemput hadir ke sesi temuduga yang akan diadakan seperti berikut dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang:
Jumaat & Sabtu,
31 Mei – 1 Jun 2013 Masjid Zahir, Alor Setar Keda
Jumaat & Sabtu,
7 – 8 Jun 2013 Pusat Pentadbiran Islam Terengganu, Kompleks Sri Iman, Kuala Terengganu Terengganu
Sabtu & Ahad,
15 – 16 Jun 2013 Pusat Penyiaran Asia (ASTRO), Bukit Jalil Kuala Lumpur
Sesi ujian dan temubual ini terbuka kepada semua lelaki Muslim yang fasih berbahasa Melayu dan berusia di antara 18 – 40 tahun serta sihat tubuh badan. Mereka yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar 4R di samping mempunyai latar belakang agama yang baik dan berpengetahuan luas dalam bidang agama dan memiliki sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau sijil Sekolah Menengah Rendah Agama.
Selain perlu membaca surah Al Fatihah dan beberapa surah lazim, para peserta juga perlu hadir dan bersedia dengan salah satu topik tazkirah seperti berikut;
1. Buang anak
2. Poligami
3. Keruntuhan akhlak
4. Hiburan dalam Islam
5. Ekonomi
Program keislaman terbaru Pencetus Ummah ini bakal bersiaran di saluran rasmi; Astro OASIS (saluran 106) pada bulan Ogos ini. Butir-butir lanjut mengenai program-program akan diumum pada sidang media yang akan datang.