[dropcap]P[/dropcap]elakon Korea pujaan ramai, Zo In Sung (aka Jo In Sung) telah membuat kira-kira 500 peminatnya jadi tidak keruan apabila beliau tanpa segan silu telah berkongsi menikmati gula-gula kapas bersama seorang peminat bertuah yang dikenali sebagai Nora. Adegan romantik itu dilakukan ketika sesi bertemu-mesra yang berlangsung di pusat membeli belah, Paradigm Mall, Kelana Jaya, malam tadi.
Sebelum itu Nora bersama rakan baiknya, Luke, merupakan salah satu daripada tiga kumpulan pasangan yang menyahut cabaran melakonkan semula salah satu babak romantis menerusi drama bersiri terhangat lakonan Zo In Sung berjudul,That Winter The Wind Blows. Babak tersebut menuntut mereka berlakon sebagai pasangan kekasih dan berkongsi memakan gula-gula kapas (cotton candy). Aksi mereka kemudiannya akan diadili oleh aktor tersebut untuk memilih pasangan mana yang berjaya meniru adegannya bersama aktres Song Hye Kyo itu dengan baik, maka merekalah pemenang.
Zo In Sung kelihatan tersenyum lebar ketika melihat aksi pasangan sahabat baik itu. Ketika di babak Nora mengigit gula-gula kapas, Zo In Sung spontan mengambil alih tempat Luke, lalu beliau pun terus mengigit gula-gula kapas yang sama. Lantas suasana jadi gamat dengan jeritan peminat lain yang cemburu melihat adegan berkenaan.