[dropcap]S[/dropcap]erata Galaksi Mencari Legasi… itulah tagline program realiti terbaru TV3, Bintang Mencari Bintang (BMB) yang ingin menonjolkan bakat sketsa komedi dan nyanyian 12 anak didik dari 6 sifu yang cukup dihormati, Harun Salim Bachik, Afdlin Shauki, Senario, Sabri Yunus, Raja Azura dan Faizal Ismail.
Bersiaran secara langsung dari studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam dari jam 9.30 hingga 11.00 malam, konsert minggu ketiga BMB malam tadi menyaksikan sebuah lagi persembahan hebat 6 anak didik dari Kumpulan A mengharungi cabaran melakukan sketsa komedi dan nyanyian bersama artis pilihan mereka.
Peserta solo dan merupakan anak didik Harun Salim Bachik, Achey tampil dengan persembahan yang cukup memukau dan mendapat tepukan gemuruh dari penonton yang hadir malam tadi. Kerja keras Achey bersama artis pilihannya, Puteri Balqis yang menjalani latihan selama 5 hari berbaloi apabila beliau berjaya mendapat markah tertinggi setakat ini iaitu 81.4 dan diberi pujian oleh ketiga-tiga juri profesional, A.R. Badul, Fauziah Ahmad Daud dan Soo Wincci.
Cabaran melakukan sketsa komedi dan nyanyian bersama artis pilihan dimulakan oleh juara konsert minggu kedua iaitu Bowl, anak didik Afdlin Shauki. Gandingan Syed Ali Mubarrak dan Muhammad Danial Lee ini tampil bersama Zamatul Amri atau lebih sinonim menerusi panggilan Tauke dengan persembahan sketsa mengenai kelas motivasi dan nyanyian medley ‘Kami Penyamun’ (lagu tema Nujum Pak Belalang), ‘Di Mana Kan Ku Cari Ganti’ (P. Ramlee) dan ‘Sorry Sorry’ (Super Junior). Pentas terus hangat dengan persembahan kedua oleh Tocai, anak didik Senario, bersama Sharifah Shahora disusuli medley ‘Keluarga Bahagia’ (Saujana) dan ‘1234’ (Aris Ariwatan).
Seterusnya, giliran peserta yang menduduki tempat tercorot sebelum konsert malam tadi bermula iaitu Kelawak, anak didik Raja Azura yang beraksi dengan Saiful Apek melakukan sketsa komedi mengenai gusti dan menyanyikan lagu popular Zee Avi berjudul ‘Kantoi’. Ternyata persembahan mereka malam tadi tidak menghampakan dan jika momentum ini dapat dikekal ke minggu seterusnya, Kelawak mempunyai peluang cerah untuk ke pusingan separuh akhir. Big Too, anak Sabri Yunus pula tampil bersama Sani Sudin dari Kumpulan Kopratasa beraksi sketsa seterusnya menyampaikan medley ‘Gadis dan Bunga’ (Rahimah Rahim), ‘Masihkah Kau Ingat’ (Kopratasa) dan ‘Kau Lupa Janji’ (Jamal Abdillah).
Persaingan semakin sengit dengan persembahan kelima oleh pendahulu Kumpulan A, Achey, anak didik Harun Salim Bachik, mempertaruhkan persembahan sketsa komedi bersama pelakon cilik popular, Puteri Balqis berkisar abang dan adik diikuti medley ‘Lagu’ (Bedroom Sanctuary) dan ‘Lompat Si Katak Lompat’. Untuk kali ketiga berturut-turut, juri profesional, A.R. Badul menggelarkan persembahan Achey sebagai magnet. Persembahan terakhir peserta Kumpulan A ialah Tapaw, yang mempersembahkan aksi sketsa komedi mengenai ragam pelajar sekolah dan nyanyian medley ‘Putih-Putih Melati’ (ST12) dan ‘Ayam Den Lopeh’ bersama pelakon popular, Johan As’ari.
Menurut Penerbit Eksekutif Bintang Mencari Bintang, Muhamad Sufian Isa,
“Syukur Alhamdullihah, BMB berjaya mengubah persepsi para penonton bahawa berlakon sketsa komedi dan nyanyian bukanlah satu kerjaya yang main-main. Selain teknik untuk melakukan sketsa komedi, anak didik juga perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan am, isu semasa dan kemasyarakatan supaya sketsa komedi yang dilakonkan bukan hanya menghiburkan malah juga menyampaikan mesej kepada para penonton.”
“Kemenangan Achey semalam tidak dapat disangkal selepas beliau menampilkan sebuah persembahan yang sarat dengan mesej selain berjaya memukau seluruh penonton di studio. Keserasian antara beliau dan Puteri Balqis sangat jelas, ini merupakan hasil dari usaha keras dan komitmen beliau dalam setiap tugasan yang dilakukan. Kelawak pula tampil dengan peningkatan dari dua persembahan lalu, mereka juga harus diberi pujian. Setiap anak didik yang bertanding mempunyai bakat dan kualiti untuk menjadi seorang penghibur, mereka tidak harus berasa selesa dan perlu sentiasa memperbaiki kelemahan sebelum layak ke pusingan separuh akhir”, tambah Sufian.
Setiap Sifu mempunyai dua anak didik yang bertanding dalam Kumpulan A dan Kumpulan B. Anak didik akan bersaing selama 4 minggu dalam pusingan pertama mengikut kumpulan masing-masing. 3 anak didik yang mendapat markah terendah dari setiap kumpulan akan disingkirkan. 6 anak didik yang berjaya ke pusingan seterusnya kemudian akan berentap di separuh akhir dan 4 anak didik yang mengumpul markah tertinggi akan bersaing di konsert akhir untuk merangkul gelaran juara serta membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM200,000.
Sepanjang 15 episod, BMB menampilkan Adibah Noor sebagai pengacara program. Selain itu, BMB turut menampilkan nama besar di dalam industri tanah air, ikon yang cukup berpengalaman dan sememangnya ‘otai’ di dalam bidang hiburan iaitu Fauziah Ahmad Daud dan A.R. Badul sebagai juri tetap untuk program ini. Minggu ini, Soo Winnci menyertai panel juri sebagai juri jemputan untuk menilai aspek nyanyian para anak didik selain membuat persembahan istimewa menerusi lagu ‘Musim Asmara’.
Untuk musim pertama ini, format permarkahan dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu 50% daripada juri profesional, 30% melalui undian SMS dan 20% daripada juri awam yang terdiri dari kalangan pelajar seni persembahan, wartawan, golongan semi-profesional dalam industri sketsa komedi dan nyanyian. Buat penonton dan peminat setia Bintang Mencari Bintang bolehlah menghantar undian SMS dengan menaip BMBNama Kumpulan dan hantar ke 33399 atau undian secara pukal, BMB5Nama Kumpulan dan hantar ke 33399. Undian SMS akan bermula jam 5.00 petang setiap hari Ahad (sewaktu siaran KOMIK BMB) dan akan ditutup selepas tamat persembahan konsert.
Di samping itu, penonton turut boleh menilai persembahan anak didik BMB semasa persembahan konsert berlangsung menerusi ‘Skala Bintang’ yang boleh didapati di www.tv3.com.my/bintang. Kemudian gerakkan skala bintang untuk gred persembahan anak didik. Keputusan penilaian ‘Skala Bintang’ akan muncul di kaca televisyen semasa konsert BMB bersiaran secara langsung.
Sementara itu, penonton berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat kesemua anak didik BMB menerusi KOMIK BMB yang disiarkan selama 30 minit pada setiap hari Ahad jam 5.00 petang. Program yang dihoskan oleh pelakon Taiyuddin Bakar atau lebih mesra dengan panggilan Tai ini juga akan membawa penonton melihat gelagat anak didik serta perkara-perkara yang bakal terjadi ketika mereka menghadiri kelas latihan dan juga perkara-perkara yang berlaku semasa mereka membuat persiapan untuk berentap di pentas BMB. Selain itu, penonton juga boleh mengikuti perkembangan para anak didik BMB menerusi program 2 minit, BLOG BMB setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 10.02 pagi dan 1.30 pagi.
Ikuti konsert mingguan BMB yang diterajui oleh Penerbit Eksekutif, Muhamad Sufian Isa yang disiarkan secara langsung dari Studio Sri Pentas 2 dari Plaza Alam Sentral Shah Alam pada setiap hari Ahad jam 9.00 hingga 10.30 malam (BMB bersiaran dari jam 9.30 – 11.00 malam pada 21 & 28 April). Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini tentang BMB, penonton boleh melayari laman sesawang rasmi BMB di www.tv3.com.my/bintang serta laman sosial Facebook & Twitter TV3Malaysia. Pengguna laman sosial Twitter boleh menggunakan ‘tanda pagar’ (#bintangTV3) untuk menghangatkan lagi bahang BMB!
Carta kedudukan markah anak didik BMB :