Sudah menjadi lumrah kehidupan manusia untuk sering memberikan pelbagai janji namun bukan mudah untuk mengotakan janji yang termetri. Berdepan dengan mereka yang sering memungkiri janji sering berakhir dengan perselingkuhan yang menjadi kepincangan dalam kehidupan seharian.
Begitulah ringkasan yang dapat digambarkan dengan drama bersiri terbaru berkonsepkan kekeluargaan, percintaan dan sifat kemanusian yang menjadi landasan hidup berjudul Embun Mutiara.
Drama bersiri ini akan menemui penonton setiap hari Jumaat dan Sabtu, jam 9.00 malam bermula pada 10 April 2009.
Embun Mutiara yang akan bersiaran selama 13 episod merupakan hasil arahan sutradara Heykal Hanafiah dan diterbitkan oleh Metrowealth Sdn Bhd, manakala penghasilan skrip oleh Nor Shuhaidatul Ain Zakaria serta panel skrip MIG.
Heykal, pengarah yang harus berterima kasih kepada penerbit David Teo yang membuka peluang kepada pengarah baru sepertinya. Antara pengarah yang pernah berkhidmat dengan David Teo seperti Prof Madya A Razak Mohaideen, Ahmad Idham, Pierre Andre, Norliana Samsudin (Yana) dan Farid Kamil.
Kata David Teo, “Sasaran saya memberi peluang kepada 10 pengarah baru. Sekarang saya sudah memberi peluang kepada tiga pengarah baru.”
“Saya akan buktikan drama ini akan digarap dengan nilai komersial yang diperlukan penonton. Memang tidak dinafikan terdapat juga muka-muka baru dalam drama ini tetapi saya sangat menaruh harapan besar terhadap bakat mereka. Seperti Mas Muharni yang masih baru dalam dunia seni ini tetapi saya percaya bakatnya selepas melihat lakonannya dalam filem Wayang.”
Mohd Heykal, 36 bukan asing dalam dunia seni kerana sebelum ini pernah mengarah drama untuk TV3, Astro Prima dan RTM. Penggambaran drama ini dimulakan sejak 21 Mac lalu.
Bintang yang menjadi tunjang kepada kekuatan Embun Mutiara dibarisi oleh Eira Syazira (Embun), Mas Muhaini (Mutiara), Awal Shaari (Roni), Norman Hakim (Hadi), Anne Abdullah (Athirah), Aida Aris (Sara), Noniswara (Laila), Kuza (Yana), Sharifah Shahora (Nadia) dan Noorzam Zam (Jebat).
Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Puan Nurul Aini Abu Bakar, “TV3 akur dengan permintaan penonton setianya untuk menerbitkan lebih banyak drama-drama bermutu untuk menjadi santapan hiburan penonton setiap malam. Tayangan Embun Mutiara selama satu jam ketika siaran waktu perdana, dijangka mendapat sambutan yang menggalakkan kerana trend masakini menunjukkan penonton gemar menonton drama-drama melayu yang bukan sahaja menghiburkan malah menyelitkan unsur-unsur pengajaran.”
“Embun Mutiara membawa mesej mengenai kepentingan mempunyai keluarga yang prihatin dan kasih sayang yang dipupuk dari awal agar melahirkan generasi yang bertanggungjawab. Ia juga memaparkan kisah percintaan yang sering teruji dan kemurnian cinta yang lahir dari hati yang iklhas bukannya kerana kebendaan. Selain itu ia menerapkan sifat-sifat kemanusiaan seperti berpegang kepada janji dan sifat sayang menyayangi di antara satu sama.”
Menurut pengarah, Embun Mutiara adalah cabaran besar buatnya selepas melihat senarai pelakon yang disenaraikan pihak syarikat perfileman itu.
Kata Heykal: “Sebelum ini saya selalu menjadi pembantu kepada Rashid Sibir. Ini kali pertama saya bekerjasama dengan Metrowealth dan pernah melihat beberapa drama keluarannya. Memang saya akui drama terbitan syarikat ini agak berlainan daripada drama arahan saya dan pengarah lain.”
Jangan lupa tonton. Ikuti kisah penuh dramatik ini di TV3!