Secara ringkasnya, ini adalah album yang mengandungi lagu-lagu rock cintan yang mempunyai tajuk berasaskan bunga seperti BUNGA PADANG PASIR (SOFEA), BUNGA LARANGAN UG14), IMPIAN SEROJA (XPDC).
Nampak gaya dan bunyinya mungkin ada yang berpendapat album ini tiada apa yang istimewa, namun hakikat sebenarnya, penerbitan album ini mencetus sejarah, pertama kalinya dalam sejarah industri muzik Malaysia apabila artis-artis popular rock tanahair menyanyikan semula dengan cara tersendiri lagu-lagu rock barat dan dimuatkan dalam sebuah album. Malah pertama kali juga, ianya diterbitkan terus dalam tiga format, – cakera padat, kaset dan juga cakera padat visual.
Bila disemak senarai lagu sebanyak 16 lagu semuanya, tiada apa yang boleh dinafikan bahawa lagu-lagu di dalam album ini memang tiada tandingannya. Kesemuanya telah mencetus sejarahnya yang tersendiri dan ia sememangnya masih popular bagi peminat-peminat muzik rock khususnya.
Begitu juga dengan penerbit album ini saudara HARUN BPR dan artis-artis yang terlibat dalam pembikinan album ini, lagu-lagu yang mereka nyanyikan semula ini juga mempunyai sejarahnya yang tersendiri kepada mereka. Mereka membesar dengan lagu-lagu dalam album ini, seterusnya menjadi artis rakaman dengan mencipta karisma dan populariti tersendiri hasil dari pengaruh lagu-lagu ini. Hakikatnya bagi artis-artis yang menyanyikan lagu-lagu ini semula, ada nostalgia & kenangannya, hanya mereka yang tahu.
7 penyanyi rock berperingkat zaman kelahiran mereka dipilih dalam pembikinan album ini. Masing-masing ada kelebihan yang tersendiri dan masing-masing masih berpengaruh hingga ke hari ini.
Album ini diterbitkan bukan untuk mengagungkan karya-karya dari barat tetapi sebagai landasan untuk ianya menjadi pembuka ruang untuk artis Malaysia melebarkan karier mereka ke peringkat antarabangsa, khususnya muzik rock. Tidak salah jika ianya menjadi pendorong kepada mereka, juga kepada artis-artis yang lain.
Jika di negara jiran Thailand (rujukan : Grammy Record), banyak album sebegini dihasilkan, lagu barat tetapi dinyanyikan oleh artis-artis popular negara mereka sendiri, dan paling membanggakan peminat mereka lebih menyokongi nyanyian versi penyanyi negara mereka sendiri dibandingkan dengan penyanyi asal lagu tersebut.
Dari aspek pengaruh, khususnya muzik rock, lebih mudah sebenarnya bagi industri kita untuk memantau dan mengawal elemen-elemen negatif dan yang kurang sesuai dengan nilai ketimuran untuk menular dan mempengaruhi orang ramai, yang kadangkala dibawa oleh artis dari barat apabila lagu-lagu nyanyian mereka dibawa oleh artis negara kita sendiri.
Sudah maklum bahawa artis – artis Malaysia ada disiplin mereka, jadi kurang untuk bertindak di luar dugaan apabila berdepan dengan peminat-peminat mereka hendak-hendaknya semasa membuat pertunjukkan pentas.
Album ini telah dirakamkan di King Studio, Kuala Lumpur sekitar bulan Julai hingga ke penghujung bulan November yang lalu. Lagu-lagu yang terdapat di dalam album ‘MADE IN MALAYSIA, 16 Greatest Hits Classic Rock’ ini ialah;
1.WILD WORLD (Mr.Big) – nyanyian ANDY (Flop Poppy).
2.HEAVEN & HELL (Black Sabbath) – nyanyian JATT (Black Dog Bone).
3.FINAL COUNTDOWN (Europe) – nyanyian JATT (Black Dog Bone).
4.LET IT BE (The Beatles) – nyanyian JATT (Black Dog Bone).
5.TEMPLE OF THE KING (Rainbow) – nyanyian SHAMRIN (Fotograf).
6.SOLDIER OF FORTUNE (Deep Purple) – nyanyian SHAMRIN (Fotograf).
7.TO BE WITH YOU (Mr.Big) – nyanyian SHAMRIN (Fotograf).
8.HOTEL CALIFORNIA (Eagles) – nyanyian JOEY (Bumiputera Rockers).
9.STAIRWAY TO HEAVEN (Led Zeppelin) – nyanyian JOEY (Bumiputera Rockers).
10.WIND OF CHANGE (Scorpion) – nyanyian JOEY (Bumiputera Rockers).
11.MORE THAN WORDS (Extreme) – nyanyian AJIN (Black Rose).
12.HEAVY CHAIN (Loudness) – nyanyian ALI (XPDC).
13.MR.CROWLEY (Ozzy Osbourne) – nyanyian ALI (XPDC).
14.STILL GOT THE BLUES (Gary Moore) – nyanyian ITO (Blues Gang).
15.WONDERFUL TONIGHT (Eric Clapton) – nyanyian ITO (Blues Gang).
16.I DON’T WANT TO TALK ABOUT IT (Rod Stewart) – nyanyian ITO (Blues Gang)
Dari 16 lagu ini 5 lagu telah dipilih sebagai lagu-lagu pilihan, ianya terdiri daripada lagu Wild World, More Than Words, Temple Of The King, Heaven & Hell, dan lagu Hotel California.
Album ini juga diterbitkan bagi menaikkan semula kegemilangan dan demam muzik rock di Malaysia. Kalau ada pihak syarikat lain mengeluarkan album ‘revival’yang berbahasa Malaysia , Life Records mengeluarkan album berbahasa inggeris. Dalam masa untuk mengeluarkan lagu-lagu rock berbahasa Malaysia yang baru, Life Records berpendapat album ini dapat memberi hiburan kepada pembeli dan pendengar album ini. Dari aspek penerbitan album, nampak mudah tapi sebenarnya amat mencabar dalam pembikinannya.
Walaupun nampak biasa sahaja album ini, tapi ianya sebenarnya satu pembaharuan dari idea dan citarasa.
Bagi mereka yang gemar berkaraoke lagu-lagu rock, album ini tidak mengecewakan mereka. Ini kerana semua visual dan audio lagu adalah dari artis-artis rock tempatan ini sendiri, bukannya menggunakan model lain. Versi vcd mtv karaoke adalah keutamaan dari segi penerbitan album ini. Ini kerana ianya lebih berbentuk hiburan peribadi tidak kira di kiosk-kiosk dan pusat-pusat hiburan karaoke mahupun di rumah. Ini seiring dengan motif pihak syarikat rakaman yang mahukan tiap-tiap album terbitannya dapat memuaskan kehendak peminat-peminat muzik tanahair.
Album ini telah berada di pasaran pada 12hb Disember 2005 yang lepas. Bagi pihak penerbit dan syarikat rakaman, kelahiran album ini merupakan satu cabaran untuk bersaing. Bahkan bukan hanya satu cabaran baru tetapi juga idea baru yang sesungguhnya cukup bersemangat untuk dipersembahkan kepada peminat-peminat muzik negara kita.