SERATA GALAKSI MENCARI LEGASI KUMPULAN A MEMBUKA GELANGGANG BMB AHAD INI
Selama 2 minggu, program realiti terbaru TV3, Bintang Mencari Bintang (BMB) telah mempamerkan kemampuan 2 solo dan 10 kumpulan menerusi konsert pengenalannya pada 10 Mac & 17 Mac. Ahad ini, Kumpulan A yang terdiri daripada BOWL (Afdlin Shauki), ACHEY (Harun Salim Bachik), TOCAI (Senario), TAPAW (Faizal Ismail), BIG TOO (Sabri Yunus) dan KELAWAK (Raja Azura) akan memulakan persaingan pertama di gelanggang BMB.
Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2 di Plaza Alam Sentral Shah Alam pada setiap hari Ahad jam 9.00 malam, BMB membariskan 6 sifu yang bukan calang-calang orangnya dalam industri hiburan iaitu Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Senario, Sabri Yunus, Raja Azura dan Faizal Ismail.
Mensasarkan bakat baru yang berkebolehan dalam kedua-dua bidang iaitu sketsa komedi dan nyanyian, kesemua anak didik akan dinilai oleh juri tetap, Fauziah Dato’ Ahmad Daud (Ogy) dan A.R. Badul, barisan juri awam serta jumlah undian SMS daripada orang ramai. Selain itu, BMB juga menampilkan seorang juri jemputan yang berpengalaman dalam bidang nyanyian pada setiap minggu untuk menilai aspek nyayian para anak didik. Mereka akan bertanding selama 3 minggu sebelum berdepan dengan sesi penyingkiran pada konsert yang keempat dalam kumpulan masing-masing.
Siapakah yang lebih menyerlah? Siapakah pula akan kecundang dalam persembahan malam ini? Pastikan anda tidak terlepas untuk menyaksikannya di TV3 jam 9.00 malam ini. Selain itu, orang ramai juga dijemput hadir ke Studio Sri Pentas 2 di Plaza Alam Sentral Shah Alam bagi memeriahkan lagi suasana siaran langsung program Bintang Mencari Bintang. Pastikan datang awal kerana pintu akan ditutup pada 8.30 malam.
Layari laman web rasmi program Bintang Mencari Bintang di www.tv3.com.my/bintang serta Facebook & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Pengguna laman sosial Twitter juga boleh menggunakan tanda pagar #bintangTV3 untuk sebarang perbualan dan komen.