in

Album Laskar Pelangi

ALBUM: Laskar Pelangi
ARTIS: Variasi
GENRE: Runut bunyi

LASKAR Pelangi adalah filem pecah panggung terbaru dari Indonesia yang disokong siri promosinya bersama penerbitan album runut bunyi menampilkan bintang besar menunjangi industri muzik negara itu. Eksplorasi muzik dalam Laskar Pelangi ketara mempamerkan kualiti terbaik dengan pembabitan nama seperti Nidji, Sherina, Gita Gutawa dan Garasi yang pernah menerobos karya mereka di negara tetangga.

Kebanyakan idea ditumpahkan hasil pembacaan yang diangkat daripada karya Andrea Hirata, lalu membuahkan sebuah penerbitan hebat untuk produksi terbitan Mira Lesmana itu. Nidji diberikan tanggungjawab untuk meneraju dengan lagu tema, Laskar Pelangi yang tampil minimal – lebih kepada penggunaan gitar akustik namun balutan muzik urban kumpulan itu tidak dikorbankan.

Dihadirkan dalam dua versi, termasuk orkestra yang digarap Aksan Sjuman dengan penampilan koir kanak-kanak, Laskar Pelangi mempamerkan sebuah lagi kreativiti menarik daripada penggiat seni Indonesia. Ia pantas membius hati, mungkin kerana penyampaiannya ringkas bersama lirik yang dinukilkan indah lantas menyatukan adunan yang mesra dan tidak jemu didengar.

Penyampaian Ipang lewat lagu Sahabat Kecil juga mengagumkan. Nyanyiannya sepenuh hati menawarkan sebuah pesona yang sukar untuk dinafikan. Album ini turut diperkuatkan dengan kemunculan Sherina yang membawakan Ku Bahagia dan Gita Gutawa dengan Tak Perlu Keliling Dunia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Blood Ties di TV2

Profil Anggun Cipta Sasmi