ntv7 siar Formula 1 Petronas Malaysia Grand Prix 2013
Rakyat Malaysia bakal menyaksikan perlumbaan Formula 1 Petronas Grand Prix 2013 di ntv7 yang bakal menyiarkan sesi pusingan kelayakan dan perlumbaan secara LANGSUNG pada 23 & 24 Mac (Sabtu dan Ahad) ini setelah mendapat hak penyiaran perlumbaan berprestij itu.
Kata Airin Zainul, Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV:
“Kami tidak sabar untuk membawakan keseronokan F1 kepada rakyat Malaysia di rumah sekali lagi pada tahun ini. ntv7 juga begitu gembira untuk menawarkan perlumbaan sukan bermotor antarabangsa ini sebagai salah satu rancangan terhebat selain barisan program lain yang telah kami sediakan.”
“Menerusi hala tuju ntv7 pada tahun 2013 yang menumpukan kedudukan stesen ini sebagai pilihan profil penonton yang dikategorikan sebagai moden, urban, dan golongan yang progresif (MUPAs), ntv7 pastinya saluran yang tepat untuk menyiarkan acara perlumbaan F1 – sebuah program yang amat tepat dengan sasaran penontonnya.”
Malah liputan siaran langsung F1 juga akan dibawakan menerusi “live streaming” di portal video no.1 Malaysia, www.tonton.com.my di mana ianya boleh diakses dan ditonton sehingga 7 hari dari tarikh acara tersebut.
ntv7 juga bakal membawakan laporan khas yang disampaikan oleh pengacara, Joanne de Rozario yang bakal membawakan berita terkini mengenai perkembangan baru dan memberikan ulasan sebelum dan selepas acara perlumbaan.
Lebih menarik, Saluran Ceria Anda juga bakal membawakan liputan tambahan acara F1 Street Demonstration yang bakal diadakan pada 17 Mac nanti serta temuramah eksklusif dari Litar Antarabangsa Sepang bagi memberi lebih informasi kepada para penonton.
Menerusi liputan acara F1 Street Demonstration nanti, para penonton bakal melihat pemandu muda Malaysia, Jazeman Jaafar beraksi tatkala diberikan peluang memacu jentera Formula 1 MERCEDES AMG PETRONAS di mana anda juga pastinya dapat merasakan kehebatan pemanduannya dari kokpit sebuah kereta F1.
LIPUTAN FORMULA 1 PETRONAS MALAYSIA GRAND PRIX 2013 di ntv7:
Sesi Perlumbaan Kelayakan
23 Mac 2013 (Sabtu)
3.50 petang Mula
4.00 petang Sesi Kelayakan (secara langsung)
5.10 petang Tamat
Hari Perlumbaan
24 Mac 2013 (Ahad)
3.30 petang Grandstand (secara langsung)
4.00 petang Perlumbaan (secara langsung)
6.10 petang Tamat
*Masa yang ditunjukkan adalah waktu tempatan (Kuala Lumpur)
Pusingan Malaysia kali ini merupakan perlumbaan kedua Kejohanan Dunia Formula One FIA 2013 selepas acara perlumbaan pembuka tirai – Formula 1 Rolex Australian Grand Prix 2013 – di Litar Albert Park, Melbourne dari 15 – 17 Mac.