PELBAGAI langkah diambil stesen radio tempatan dalam memperkenalkan penyampai mereka bagi menguatkan lagi kemesraan di antara pendengar, penonton serta stesen itu sendiri.
Ini sebenarnya adalah langkah bijak yang secara tidak langsung perkembangan industri radio tempatan dapat diangkat sekali gus dimartabatkan ke satu tahap yang lebih tinggi.
Penyampaian radio kini yang sudah dianggap sebahagian daripada selebriti tanah air turut mempunyai peranan penting dalam perkembangan industri seni termasuk menyampaikan maklumat terkini kepada pendengar.
Sejak Oktober 2006, Stesen radio Hot FM yang memperkenalkan segmen pagi AM Krew yang dikendalikan oleh Fara Fauzana dan Faizal Ismail bukan saja dapat didengar celoteh mereka menerusi Hot FM malah dapat melihat aksi mereka melalui siaran pagi di 8TV.
Selepas pembaharuan yang dilakukan Hot FM dalam memperkenalkan selebriti mereka, Fara dan Faizal kini lebih dikenali oleh masyarakat. Perkembangan ini seharusnya dicontohi stesen radio lain dalam memperkenalkan selebriti mereka.
Kini Hot FM memperluaskan lagi perkembangan pemasaran selebriti mereka dengan memilih Leya atau Sharifah Aleya yang boleh disaksikan menerusi TV9 bermula 9 Mac lalu setiap Isnin hingga Jumaat melalui segmen Menu Muzik Hot FM dari jam 10 hingga 1 tengah hari.
Leya yang kini sedang hamil empat bulan dikenali dengan kepetahan dan karakter beliau yang selamba mendapat maklum balas yang positif daripada pendengar sehingga dipilih untuk menuruti jejak Fara dan Faizal.
Langkah sedemikian ternyata mendapat sambutan hangat kerana pendengar setia Hot FM bukan saja dapat mendengar Hot FM melalui corong radio, malah mereka juga dapat menonton setiap aksi penyampai kegemaran mereka secara langsung melalui saluran TV.
Malah penonton juga dapat menyoroti cara pengendalian sesebuah segmen radio. Ternyata kolaborasi dengan televisyen dari Rangkaian Media Prima dilihat memberi impak yang sangat dalam di dalam rutin hidup pendengar serta penonton Hot FM.
Hot FM disifatkan mencapai matlamat utama apabila berjaya menjadikan stesen itu sebagai satu keperluan peribadi dalam hidup setiap pendengar stesen itu. Sesuai dengan objektif asal yang sentiasa mengambil kira pendapat pendengar, Hot FM yakin kolaborasi ini akan menguatkan lagi kemesraan di antara pendengar, penonton serta stesen itu sendiri.
Beliau diberikan kepercayaan untuk menarik lebih ramai pendengar dengan usaha bersama TV9, diyakini mampu melakukan tugas dengan baik juga kemampuan Leya dalam berinteraksi dengan penonton TV.