Dilema Anak Angkat Dalam Drama Bersiri Inggeris : Life Unexpected Di TV2
Menjalani kehidupan seharian sebagai ‘anak angkat’ tidak pernah diimpikan oleh sesiapa pun di dunia ini meskipun ada juga individu bertuah yang di kurniakan keluarga angkat yang baik dan menganggap mereka bak keluarga sendiri. Dalam hati mereka pastinya terdetik rasa untuk menjejak ibu bapa kandung mereka yang sebenar.
Plot kisah ini mewarnai latar cerita siri remaja Inggeris terbaharu disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk “ Life Unexpected ” mulai 12 Mac 2013, setiap Selasa, jam 12.00 malam menerusi saluran TV2 yang turut berkongsi kisah cabaran, pengorbanan dan kasih sayang yang diperlukan untuk mencari keluarga sendiri dan bebas dari segala kongkongan yang mengetengahkan watak remaja dikenali sebagai Lux Cassidy.
Menampilkan pelakon utama Britt Robertson sebagai Lux Cassidy dan “Catherine “Cate” Cassidy oleh Shiri Appleby selain turut di bantu oleh Nathanial “Baze” Bazile (Kristoffer Polaha), Ryan Thomas (Kerr Smith), Matthew “Math” Rogers (Austin Basis), Natasha “Tasha” Siviac (Ksenia Solo) dan Paige Thomas (Arielle Kebbel), ia mengangkat kisah mengenai ibu dan anak yang mengharungi suka duka dalam menghadapi isu keluarga.
Siri remaja yang menggabungkan elemen keluarga dan persahabatan ini mengetengahkan plot cerita mengenai Lux yang telah menghabiskan sisa hidupnya selama 15 tahun menjadi anak angkat kepada sebuah keluarga angkat di Portland, Oregon.
Ibu kandungnya, Cate Cassidy telah melahirkan Lux ketika masih remaja dan kemudian memberikan anaknya untuk dijadikan sebagai anak angkat kepada Perkhidmatan Sosial. Disebabkan mempunyai masalah jantung, Lux bernasib malang kerana sering dipulangkan semula di tempat perlindungan tersebut.
Cate Cassidy seorang personaliti DJ radio dengan program popularnya, “Morning Madness”, dalam diam diminati Lux yang pada masa sama ketika mendengar suara Cate’s di radio, dia dapat merasakan suatu perasaan yang begitu dekat.
Satu hari, bapa kandung yang berjaya dijejakinya dikenali sebagai Baze membawa Lux untuk berjumpa dengan Cate, dan Baze memberitahu bahawa Lux adalah anaknya Cate terkejut dan sedih apabila mengetahui bahawa anaknya dibesarkan di rumah anak angkat di mana Cate percaya bahawa tempat perlindungan tersebut mampu untuk menggantikannya dengan keluarga yang lebih baik.
Setelah mengetahui tentang kehidupan anaknya, Cate membuat keputusan ingin menjaga Lux ketika sambutan hari lahirnya yang ke – 16. Tetapi malangnya, hakim mahkamah memutuskan bahawa Lux masih belum bersedia untuk diberikan hak kebebasan sepenuhnya. Begitu pun peluang untuk mereka hidup bersama masih terbuka kerana mahkamah telah memberikan tempoh hak penjagaan sementara kepada Baze dan Cate.
Ketika di dalam penjagaan mereka, Baze menjadi lebih bertanggungjawab dan bekerja kuat supaya Lux dapat tinggal bersamanya. Disebabkan hubungan mereka semakin rapat, Baze yang dianggap sebelum ini sebagai pemalas telah membuktikan bahawa dia mampu menjadi seorang bapa yang baik.
Sementara itu Ryan, tunang kepada Cate merasa cemburu dan tidak selamat dengan kehadiran Baze yang selalu hadir dan mengganggu dalam kehidupan tunangnya itu sehingga menyebabkan Ryan memutuskan hubungan mereka berdua.
Setelah apa yang berlaku, Baze cuba menjernihkan keadaan dengan menjelaskan perkara sebenar kepada Ryan tentang yang berlaku antara dia dengan Cate dan mengatakan bahawa dia tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap Cate. Hubungan mereka kembali erat semata-mata disebabkan dia mahu menjalankan tanggungjawab sebagai bapa kandung Lux. Lalu apakah yang berlaku kemudiannya?