[dropcap]S[/dropcap]elepas gagal menemui jalan penyelesaian akan konflik rumah tangga yang dihadapi sejak tujuh bulan lalu, aktres Noniswara, 43, akhirnya nekad menuntut cerai daripada suaminya, Datuk Rosman Ridzwan, 54. Keputusan mahu meleraikan ikatan perkahwinan yang dibina sejak empat tahun lalu itu terpaksa dibuat gara-gara ‘gangguan’ pihak ketiga.
Bercakap kepada mStar online, pelakon yang mesra disapa dengan nama Nonis ini berkata selepas berbincang, dia dan suami memutuskan untuk memfailkan perceraian
Bagaimanapun, pada kes sebutan pertama minggu lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, Nonis memberitahu suaminya pula yang tidak hadir di mahkamah.
Nonis telah memfailkan penceraian terhadap suaminya pada Februari lalu dan sebutan semula bakal berlangsung pada 26 Mac ini di mahkamah yang sama.
Menjawab mengenai punca mereka mahu bercerai, Nonis mendedahkan ia kerana terdapat orang ketiga yang mengganggu perkahwinan mereka.
“Sepanjang perkahwinan ini, hubungan kami sangat baik namun apabila pihak ketiga itu muncul dalam kehidupan kami, rumah tangga kami jadi kucar-kacir. Bagaimanapun, saya reda. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Nak nangis pun tak guna jika tiada penyelesaian. Lagipun suami tidak pernah menyuarakan hasrat untuk saya bermadu. Jika dia mahu, mungkin kami boleh berbincang. Apa-apa pun saya terima bahawa jodoh kami tidak kekal lama,” ujarnya.
Nonis dan Rosman telah mendirikan rumah tangga pada 1 Ogos 2009. Sebelum itu Nonis pernah berkahwin dan dikurniakan tiga cahaya mata. Sementara Rosman pula yang sebelum itu berstatus duda memiliki lima anak daripada perkahwinan terdahulu.