in

Dato’ Siti Nurhaliza Kembali Bekerja 1 April Ini

MASUK tarikh 1 April ini, genaplah 14 tahun penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 30, dalam industri seni hiburan tanah air. Tarikh itu juga bersempena dengan pelancaran album pertamanya, Siti Nurhaliza pada 1 April 1996 yang memuatkan lagu popular Jerat Percintaan.

Menurut penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini, mulai 1 April juga dia akan kembali sibuk dengan aktiviti seni dan promosi album yang tertangguh demi menghormati pemergian bapa tersayang, Tarudin Ismail ke Rahmatullah pada 15 Februari lalu akibat serangan jantung.

Difahamkan, antara program yang melibatkan Siti adalah undangan persembahan sempena Keputeraan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra di Kelantan, Anugerah Kajai, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 dan program televisyen Jangan Tidur Lagi di TV3.

“Dalam bulan April ini saya agak sibuk dengan pelbagai aktiviti seni. Tambahan pula, bulan depan juga merupakan ulang tahun saya dalam industri ini. Saya merancang untuk menyambut ulang tahun tersebut dengan peminat. Dalam masa yang sama, saya sedang dalam perancangan membuat konsert amal secara solo di Istana Budaya yang dijangka akan dilakukan pada bulan Jun nanti,” ulas Siti mengenai konsert yang dianjurkan oleh badan amal Yayasan Nur Jiwa miliknya dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa. 

Tambah Siti, sebolehnya dia ingin menginspirasikan corak Konsert Celine Dion di Las Vegas ke dalam konsert solonya itu.

“Tetapi saya tahu kosnya agak tinggi dan ‘mengukur ikut baju sendiri’. Saya akan membuat persembahan mengikut standard saya dan pastikan orang akan ingat persembahan itu sampai bila-bila,” ulas Siti.

Disebabkan sibuk memenuhi tuntutan kerja, Siti berkata dia terpaksa melupakan soal anak buat sementara waktu.

“Sekarang, saya nak fokus kepada konsert dan melupakan dulu tentang anak. Lagipun, rezeki anak belum ada lagi. Saya nak buat tak tahu sahaja,” ujar Siti yang semakin kurus seperti zaman mudanya dulu.

Diaju tentang perubahan tersebut, Siti berkata dia kurus selepas kembali melakukan latihan di gimnasium.

“Kalau dulu berat saya mencecah 61 kg, sekarang berat saya sudah turun 56 kg. Tetapi, saya masih tak puas hati dan mahu berat 55 kg biar nampak ‘maintain’,” katanya ketika sidang media majlis makan tengah hari Minggu Setiausaha 2009 di Quality Hotel City Centre, Kuala Lumpur, semalam. [sumber]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kempen Derma Darah Dan Pameran Pendidikan Kesihatan

Amalan Tidak Sihat Ketika Memandu Di Jalan Raya