Kisah Cinta Rozita Che Wan Dalam Slot Cindai : Mengejar Wardah Di TV1
Ingin menyaksikan dan berkongsi perasaan cinta pelakon cantik Rozita Che Wan yang realitinya sedang bahagia menyulam cinta dengn kekasihnya, Zain Saidin saksikan drama bersiri terbaharu disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk “Mengejar Wardah” mengisi slot Cindai di TV1 mulai 20 Mac 2013, setiap Isnin hingga Khamis, jam 2.05 petang.
Namun dalam drama 13 episod ini mengetengahkan jalinan cinta yang lebih matang terbina antara Rozita Che Wan dengan pelakon Arash Mohamad yang dibantu oleh Erin Malik, Ika Nabila, Rashdan Baba dan Fazlina Dato’ Ahmad Daud.
Terbitan Eurofine (M) Sdn Bhd, “Mengejar Wardah” berkongsi kisah watak Dilla yang begitu bimbang jika bapanya berkahwin lagi. Pelbagai usaha dilakukan bagi mengelak bapanya, Abd Razak menjalinkan hubungan serius dengan wanita lain. Namun takdir menemukan Abd Razak dengan seorang wanita cantik bernama Wardah.
Wardah, sudah 10 tahun menjanda, tidak mempunyai anak. Bekerja di sebuah syarikat swasta dan berjawatan tinggi. Wajahnya yang cantik walaupun berumur, digilai oleh rakan – rakan sepejabatnya. Walaupun begitu, dia sudah serik untuk memikirkan hal cinta kerana terlalu fobia dengan orang yang bergelar suami.
Sejarah perkahwinan dahulunya membuatkan dia menderita sehingga sekarang. Tetapi setelah bertemu dengan Abd Razak, ketakutannya terhadap mahligai perkahwinan terus lenyap, kerana dia sungguh mengenali hati budi dan betapa ‘gentleman’nya lelaki itu.
Dilla mula menyelidik latarbelakang Wardah sebelum bertindak memutuskan hubungan Wardah dengan bapanya. Dilla bertemu dengan Kamil yang kebetulan bekerja di kawasan yang sama dengan Wardah. Malah Kamil yang turut meminati Wardah begitu mengambil berat terhadap Wardah.
Kesempatan itu digunakan oleh Dilla dengan menabur fitnah dengan menyatakan kepada bapanya yang Wardah bukanlah wanita yang baik dan sebenarnya menjalinkan hubungan dengan Kamil. Tanpa Dilla sedar, fitnah yang ditaburnya membuatkan bapanya sedih dan banyak mendiamkan diri.
Dilla mula menyesali apa yang telah dilakukannya. Ketika Dilla cuba membetulkan keadaan, Dilla mendapat tahu yang Kamil menyintai Wardah. Dalam masa yang sama rupanya Dilla sendiri jatuh cinta terhadap Kamil.
Dilla mula merebut kembali hati Kamil dan mula merapatkan hubungan antara Wardah dan bapanya. Namun ianya tidak semudah yang disangka.