Tiket Laris Jadi Bukti Konsert ‘Mahal’ Anuar Zain Dapat Sambutan dan ada kelas tersendiri.
Pada jam 3 petang, 4 Februari 2013, hari Isini lalu telah berlangsung Sidang Media Konsert Anuar Zain terakhir sebelum konsert berlangsung pada 16 Februari ini di Hotel Concorde, Shah Alam.
Di sebalik dakwaan tiket bagi menyaksikan persembahan Anuar Zain tidak laku kerana harganya terlalu mahal penyanyi tersebut sebenarnya berpuas hati kerana konsert itu mendapat sambutan hangat. Menurut Anuar Zain, konsert Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari yang bakal diadakan pada 16 Februari depan itu memperoleh respons luar jangkaan apabila hampir 80 peratus tiket berkenaan telah dijual.
“Syukur tiket dapat dijual dengan cepat dan masih berbaki 20 peratus sahaja malah ada pembeli tiket dari Brazil, Indonesia, Brunei dan Singapura. Ia sekali gus telah menaikkan lagi semangat saya untuk beraksi di hadapan peminat pada malam itu nanti.”
Tiket bagi menyaksikan persembahan tersebut dijual dari RM88 sehingga RM698. Anuar Zain tak lupa mengucapkan jutaan terima kasih buat semua media dan peminat yang banyak membantu mewar-warkan tentang apa sahaja info Konsert Anuar Zain 3 Dekad.
Dalam perkembangan berkaitan, Anuar akan menjalani lima lagi sesi latihan bersama pemuzik yang akan dipimpin oleh pengarah muzik, Mac Chew sebelum konsert berlangsung.
Untuk pembelian tiket dan keterangan lanjut boleh melayari www.ticketcharge.com.my atau www.facebook.com/3Dekad1Destinasi.
Sebelum ini, Anuar Zain telah meluangkan masa untuk buat promosi di beberapa buah program TV dan radio.