Untuk minggu pertama, tiada pelajar tersingkir. Bermakna, mereka semua akan buat konsert lagi minggu depan.
KESEMUA pelajar AF7 bersorak gembira apabila diumumkan kekal untuk terus membuat persembahan pada konsert di Bukit Jalil semalam.
Tiada penyingkiran! Program realiti popular tanah air, Akademi Fantasia (AF7) membuka tirainya malam tadi dengan menyaksikan kesemua 14 pelajar AF7 yang membuat persembahan pada minggu pertama semalam terselamat daripada ‘dihantar’ pulang.
Keputusan tersebut diumumkan oleh pengacara AC Mizal pada konsert yang berlangsung di Dewan Seri Putra Bukit Jalil di sini.
Kesemua pelajar lelaki yang akan meneruskan perjuangan ialah Afiq Hakim Ahmad (Akim), 18, Khairil Azam Pilus (Aril), 24, Mohd. Hafiz Mohd. Suip (Hafiz), 19, Ahmad Sobri Hasmuni (Obri), 24, Mohd. Qhauhd Abdul Rashid (Qhaud), 25, Mohd. Rashidi Mohamad Isa (Sidi), 27 dan Mohd. Yazid Ibrahim (Yazid), 22.
Pelajar wanita pula ialah Claudia Fay Geres (Claudia), 24, dari Kuching, Sarawak, Ismaliza Ismail (Isma), 30, Nas Adila Mohd. Dan (Adila), 23, Nur Fazelah Mohd. Tahil (Zizi), 24, Rubisa Tiasin (Rubisa), 23, Siti Aishah Bujang (Aishah), 18, dan Zuzafrini Zulkifli (Rini), 25.
Selama 10 minggu, pelajar terpilih menerima bimbingan dan latihan daripada tenaga pengajar profesional diketuai pengetua baru Tiara Jacquelina.