IN WHAT CITY DOES IT LIVE? MULAI PENGGAMBARAN
In What City Does It Live? (IWC), sebuah filem yang disokong oleh barisan organisasi yang impresif dari pelbagai benua termasuk Sundance (USA), Hubert Bals Fund (Belanda), Prince Claus (Belanda), Torino Film Lab (Itali), Foundation Gan (Perancis), World Cinema Fund (Jerman) dan Visions Sud Est (Switzerland) telah memulakan penggambaran pada bulan Disember 2012. Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia turut membiayai filem ini melalui Geran Industri Kreatif.
IWC merupakan filem kedua yang dinanti-nantikan bagi pengarah filem yang pernah memenangi anugerah, Liew Seng Tat.
Filem sulung Liew, ‘Flower in the Pocket’ (2007) memenangi banyak anugerah di pelbagai festival filem antarabangsa termasuk Pusan, Rotterdam, Fribourg, Deauville dan Pesaro. Beliau mengilhamkan IWC di Cannes Director’s Residence – Cinefoundation dan pernah menyertai 2011 Sundance Screenwriters Lab.
Sinematografi diterajui oleh Teoh Gay Hian yang mempunyai pengalaman penggambaraan yang luas termasuk Soegija and Opera Jawa yang diarahkan oleh Garin Nugroho dan At the End of Daybreak dan Rain Dogs yang diarahkan Ho Yuhang
IWC ialah sebuah filem yang memuatkan semangat hidup bermasyarakat di kampung dengan sentuhan humor dan sentimental. Filem ini adalah tentang peristiwa dan kepercayaan tahyul yang timbul akibat kehadiran seorang pendatang dari Afrika yang bersembunyi di sebuah kampung.
Filem ini mempunyai barisan pelakon Malaysia yang mantap diketuai oleh Wan Hanafi Su. Filem ini turut dibintangi Harun Salim Bachik, Soffi Jikan, Jalil Hamid, Azhan Rani, Normah Damanhuri, Roslan Saleh, Acong and Azman Hassan. Filem ini diterbitkan oleh Sharon Gan dan merupakan terbitan bersama Everything Films Sdn. Bhd (Malaysia) dengan Volya Films (Belanda), Mandra Films (Perancis) dan Flying Moon Filmproduktion (Jerman).
IWC akan menamatkan penggambaraan pada Januari 2013.
Sinopsis Filem In What City Does It Live
Anak tunggal Pak Awang bakal melangsungkan perkahwinan dan beliau ingin menghadiahkan anaknya rumah sebagai hadiah perkahwinan. Kerana tidak mampu membeli rumah baru, beliau mendapat akal untuk memindahkan dan membaik pulih sebuah rumah lama di kampung berhampiran. Di sebalik khabar angin mengatakan rumah itu berhantu, beliau berjaya menyakinkan penduduk kampung membantu beliau memindahkan rumah, dengan mengangkat ia balik ke kampung.
Solomon ialah seorang pendatang haram yang berdagang di jalanan, dan mengalami masalah menyesuaikan diri dengan kehidupan di Kuala Lumpur. Beliau memilih untuk menjalankan perniagaan sendiri dan tidak melibatkan diri dengan sendikit penipuan yang banyak dijalankan rakan senegaranya. Malang tidak berbau apabila dia bertembung dengan masalah dan terpaksa melarikan diri. Dia melompat ke dalam lori yang sedang bergerak dan akhirnya dibawa ke kampung. Ketika merayau-rayau dia menemui rumah yang sedang dipindahkan itu dan bersembunyi di dalamnya.
Petang yang sama, seorang penduduk kampung melintas rumah itu dan ternampak kelibat hitam (Solomon) di dalamnya. Dia ketakutan dan kembali ke kampung untuk memberitahu semua orang. Tiada yang melihat Solomon sepenuhnya dan ini menimbulkan khabar angin yang rumah itu berhantu. Ini menimbulkan kekacauan di kampung dan menunda perpindahan itu.
Pak Awang cuba menyakinkan penduduk kampung agar tidak percaya kepada tahyul, tetapi tiada siapa yang ingin mendengar. Sedangkan Pak Awang semakin diasingi oleh orang kampungnya sendiri, Solomon gembira dengan ‘rumah’ baru beliau dan menjadi penghuni tetap rumah itu. Tetapi sampai bila?
Geran Industri Kreatif
Geran Industri Kreatif adalah satu inisiatif Kerajaan yang diperkenalkan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011 – 2015). Sebanyak RM120 juta telah diperuntukkan melalui KPKK bertujuan untuk merancakkan pembangunan industri kreatif tempatan supaya mampu bersaing dan lebih kompetetif di peringkat antarabangsa.
Industri Kreatif ialah industri-industri yang melibatkan kreativiti individu, keterampilan dan bakat yang mempunyai potensi menjana kekayaan serta penciptaan peluang pekerjaan melalui penggalakan dan eksploitasi harta intelek.
Geran Industri Kreatif disasarkan kepada penggiat seni (individu), syarikat dan koperasi yang berkecimpung dalam 3 kategori industri kreatif berikut:
1. Industri Kreatif Multimedia
2. Industri Kreatif Seni Budaya
3. Industri Kreatif Warisan Budaya