Travelog, Kerjaya Pilihan Remaja dan Inspirasi Gajet Terbaru Isi Program Terbaik TVi (Saluran 180 Astro) Sepanjang Januari 2013
Mengorak langkah ke tahun 2013, TVi (Saluran 180 Astro) yang menjadikan remaja dan etnik Sabah dan Sarawak sebagai sasaran utama penonton salurannya bakal tampil dengan strategi yang lebih mantap selain mengekalkan program-program terbaik sedia ada.
Keunikan Negeri Di Bawah Bayu cuba ditonjolkan menerusi program traveloq menarik bertajuk Sabah Unik yang menemui penonton setia saluran ini mulai 11 Januari 2013, setiap Jumaat, jam 3.30 petang. Waktu santai petang hari anda pastinya lebih bermakna apabila pengacara program ini yang juga penyanyi Azharina Azhar membawa penonton ke negeri Sabah untuk melihat sendiri keunikan dan keistimewaan yang terdapat di sana.
13 episod travelog ini antaranya berkongsi cara dan pembuatan kopi melalui seni latte di Pekan Tenom Sabah, mengetahui masakan tradisi Dusun Murut seperti padi goreng yang dipercayai boleh menambahkan tenaga juga tumbuhan bawang rumput yang dijadikan makanan pembuka selera.
Saksikan juga aksi kehidupan spesis Monyet Belanda (Proboscis Monkey) di Sungai Gerama yang hanya hidup di Kepulauan Borneo dan memiliki keunikannya yang tersendiri. Begitu juga kisah keunikan di Kampung Padang, perbezaan tarian Tumadak oleh suku kaun Bajau Obian. Di sini juga penonton dapat berkongsi hobi unik seorang peminat haiwan yang memelihara Tokek dikenali Tokek Pulau Banggi.
Anda juga boleh mencuba resipi masakan suku kaum Brunei melalui masakan Tompek (lempeng keropok), Jeruk Bambangan (buah seperti buah bachang) yang merupakan penambah selera serta masakan dalam tanah oleh orang Kadazan Dusun.
Golongan remaja yang begitu dekat dengan gajet-gajet terbaru di pasaran pula usah ketinggalan menyaksikan program “Nova” yang telah pun mula bersiaran sejak 29 Disember lalu, setiap Sabtu, jam 11.30 pagi. Dihoskan oleh Mun Kit, rancangan ini memberikan inspirasi tentang gajet-gajet terbaru yang berada di pasaran.
Seterusnya peluang terbuka kepada golongan remaja yang ingin mengetahui pelbagai info menarik dan berguna tentang kerjaya pilihan di kalangan remaja menerusi program “Macam Dia” mulai 13 Januari 2013, setiap Ahad, jam 11.30 pagi.
Menampilkan pengacara Syawal Ruslan, saksikan aksi dan gelagat kanak-kanak dan remaja mencuba bidang kerjaya pilihan mereka antaranya sebagai arkitek, juruterbang, penyampai radio, ahli bomba, pengarah filem dan juga pereka fesyen.
13 episod terbitan A.Aida Production Sdn Bhd ini mengundang antaranya selebriti Linda Onn dan juga individu yang telah pun berjaya dalam bidang masing-masing untuk memberikan inspirasi kepada penonton yang turut meminati bidang kerjaya yang diketengahkan.