Sekejap tadi, dalam episod pertama Diari AF7, penonton dan juga para pelajar telah diperkenalkan dengan pengetua Akademi Fantasia musim baru iaitu Datin Seri Tiara Jacquelina.
Pada masa yang sama, sessi ramah mesra para media dengan Datin Seri Tiara Jacquelina telah diadakan di Restoran The Courtyard Garden, Damansara pada jam 8 malam tadi. Tiara yang baru kembali dari mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah ternyata gembira dengan perlantikan itu dan berazam membimbing pelajar AF7 ke tahap yang lebih cemerlang.
Budiey ingin mengucapkan tahniah kepada penyanyi dan pelakon teater Puteri Gunung Ledang kerana dilantik menjadi pengetua Akademi Fantasia musim ke-7. Bermakna, Datin Seri Tiara adalah wanita pertama yang menjadi pengetua AF. Mungkin ini yang dikatakan transformasi yang mahu ditonjolkan dalam AF dengan memilih pengetua wanita yang sungguh berwibawa dan kaya dengan ilmu seni persembahan lakonan dan nyanyian.
Pasti banyak sekali informasi dan tunjuk ajar serta tips dari pengetua baru yang melimpah dengan aura ini akan ditransformasikan kepada budak-budak AF musim ini. Satu cabaran yang bukan kecil untuk digendung oleh beliau. Good luck ya, Datin Seri!
Dengan pengumuman ini, maka tamatlah desas-desus dan spekulasi siapakah pengetua AF7. Sebelum ini nama-nama besar seperti Datuk Sheila Majid, Norman KRU, Aznil Nawawi dan Anita Sarawak disebut-sebut akan menerajui AF musim baru ini. Sebelum ini, ada yang buat spekulasi pengetua AF kali ini adalah lelaki.
AF sebelum ini didominasi oleh pengetua lelaki iaitu Freddie Fernandez (AF1), Ramli MS (AF2 dan AF6), M. Nasir (AF3), Ramli Sarip (AF4) dan Roslan Aziz (AF5).
Apakah visi dan misi untuk ketuai AF7?
“Transformasi bagi saya ialah perlu berani buat sesuatu yang baru. Saya ingin menjadikan AF7 ini adalah yang terbaik. Kalau boleh, saya ingin AF7 melahirkan bakat-bakat yang luar biasa dan menjadi ikon di tanahair. Mungkin impian itu terlalu tinggi, tetapi industri kita memang memerlukan transformasi seperti ini. Saya sengaja letakkan matlamat yang mungkin kedengaran agak tidak masuk akal untuk semua projek yang saya lakukan termasuklah AF7, agar saya dapat lihat sejauhmana ia boleh dicapai. Bagi saya, tidak salah meletakkan ‘benchmark’ yang tinggi. Jika kita tidak berazam dan berusaha, kita tidak tahu kemampuan kita. Dan semua ini akan dilakukan secara bersepakat di antara saya, pelajar dan barisan tenaga pengajar.”
Komen Datin Seri Tiara atas pelantikannya:
“Pada saya, tidak ada apa yang perlu dihairankan tentang siapa yang bakal menjadi Pengetua…sama ada wanita atau lelaki. Yang penting adalah apa yang akan saya tinggalkan setelah AF musim ini berakhir kelak. Tawaran ini datang pada masa yang tepat. Ramai wartawan pernah bertanya apa yang akan saya buat selepas tamatnya Puteri Gunung Ledang The Musical dan saya pernah luahkan hasrat saya untuk tubuhkan sebuah Akademi seni selepas ini. Tapi nampaknya, tawaran ini (Pengetua AF7) yang saya terima dulu. Saya hanya memberi kata putus pun baru-baru ini saja. Apapun, saat saya ditawarkan jawatan ini, saya tahu tanggungjawab yang akan saya pikul itu cukup berat, apatah lagi bila mendengar tagline musim ini iaitu ‘satu transformasi akan berlaku’. Tapi, saya sukakan pada cabaran. Saya rasa, dengan bantuan barisan tenaga pengajar yang hebat musim ini, kita akan cuba sedaya-upaya membawa transformasi itu.”
Budiey kira, satu pilihan bijak diputuskan oleh pihak produksi. Memang sesuai, apatah lagi, terbukti bakat seni nyanyian juga bersemadi dalam diri penerbit dan entertainer yang baru melancarkan album singlenya berjudul KATAKAN yang dicipta oleh Dick Lee dan lirik oleh Adlin Aman Ramli.
Datin Seri Tiara juga memang layak jika dilihat dan diukur dengan kemampuan pelakon ini yang bukan sebarangan dengan menghasilkan filem Puteri Gunung Ledang hinggalah mengusung naskah ini ke pentas teater. Antara artis yang pernah digilap oleh Tiara di bawah agensinya dulu, Kit Kat Klub adalah Sofia Jane, Aida Rahim dan Maria Farida.
Melihat pada episod pertama, saya kira ramai pihak yang yakin, AF kali ini mampu menyuntik transformasi segar dalam industri. Sejauh mana? Kita tengok aje lah.
Gambar ketika pengetua cantik disolek rias indah oleh MAC di Mid Valley.