Filem Alex Cross bawa penonton ikuti cabaran hidup pegawai polis
Kisah polis terus diangkat penerbit Hollywood sebagai subjek di layar perak. Di bawah sentuhan Rob Cohen, filem Alex Cross yang membawa penonton mengikuti perjalanan hidup dan kerjaya mencabar detektif bernama Alex Cross lakonan Tyler Perry, juga pakar psikologi yang menjadi mangsa balas dendam penjenayah psiko.
Andai sebelum ini Tyler lebih dominan dengan watak komedi, dalam filem yang diadaptasi daripada novel Cross tulisan James Patterson, dia tegar dengan memek serius namun sesekali tetap berjenaka.
Bertugas di Jabatan Polis Detroit, Alex menjadi penyiasat kes pembunuhan bersama teman karib sejak kecil Tommy Kane (Edward) serta kekasih sahabatnya, Monica (Rachel Nicols), mereka perlu berdepan seorang psiko yang menjadikan mereka sasaran seterusnya.
Pembunuh upahan
Sangkaan Alex, pembunuh upahan lakonan Matthew Fox hanya tertumpu kepada sasaran utama iaitu jutawan Perancis, Jean Reno namun selepas insiden pertembungan ketika berbalas tembakan menyebabkan lelaki itu memasang perangkap.
Mahu memusnahkan kehidupan polis terbabit, isterinya yang hamil anak ketiga ditembak manakala rakan sepasukannya, Monica diseksa hingga mati seperti mangsa sebelumnya.
Mengambil jalan singkat, Alex dan Tommy menggadai kepercayaan sebagai pegawai polis apabila mencuri bahan bukti di tempat mereka bekerja dan kemudian memburu penjenayah terbabit.
Dari segi aksi atau kronologi kisah, Alex Cross bagai tidak jauh berbeza dengan filem kepolisan Hollywood lain termasuk elemen drama sebaik isterinya dikebumikan namun babak penyeksaan terhadap mangsa sengaja dilebihlebihkan bagi meninggalkan impak.
Memotong semua jari mangsa yang separuh sedar akibat disuntik dadah serta meninggalkan lukisan sebagai penanda antara perkara yang dilakukan penjenayah itu biarpun hingga ke akhir tidak dapat dipastikan mengapa pihak penerbit menyelitkan elemen berkenaan.
Sekadar menamakan penjenayah itu sebagai Picasso bersandarkan tinggalan lukisannya, ia tiada impak kepada penonton malah hingga beberapa babak seterusnya diselitkan adegan dia sedang melukis.
Adegan mengerikan
Jangan terkejut jika anda menjangkakan wujudnya babak kejar mengejar kereta seperti yang dipertontonkan Rob dalam filem terdahulunya seperti The Fast and The Furios serta xXx, kerana jika ada pun ia sekadar sekali lalu.
Begitu pun, sutradara yang pernah berkelana ke sebuah perkampungan di Indonesia bijak memanipulasi penggemar aksi apabila menonjolkan banyak adegan mengerikan.
Rob turut mengetengahkan babak terakhir di lokasi yang dianggap memberi aura baru dalam hidupnya, Indonesia apabila menonjolkan Bali sebagai tempat bersembunyi.
Biar hanya sekilas pandang, latar sebuah resort tepi laut di pulau eksotik itu mampu ‘menangkap’ perhatian khususnya bagi penonton di sini semetelah bahasa digunakan adalah serumpun.
Jarang penerbit Hollywood mahu menonjolkan keunikan masyarakat Timur tetapi menerusi Alex Cross, kita disajikan dialog Indonesia termasuk membabitkan watak kepala perancang segala konspirasi, Jean Reno.