Pada 25 Februari 2009, jam 10.30 pagi, baru je sekejap tadi, Budiey telah menghadiri Prebiu Jonas Brothers: The 3D Concert Experience di Hall 4, GSC Mid Valley.
Kini, dengan memakai cermin mata khas 3D, para peminat grup tersohor dari Amerika ini bakal menempuh pengalaman menonton konsert yang Budiey kira satu pengalaman yang sangat menyeronokkan. Kalau selama ini, kita hanya dapat menonton filem dalam bentuk digital 3D tetapi kali ini, konsert juga boleh ditonton secara 3D. Bayangkan, Jonas Brothers menyanyi dan bermain gitar seolah-olah mereka bertiga berada di depan mata anda! Budiey seakan tidak sedar, hampir turut bertepuk tangan dan terhinjuk-hinjuk mengikuti alunan lagu mereka seakan mereka mempersembahkannya secara live! Ingat ke berada di New York, tapi sedar-sedar masih berada di Hall 4 sambil mengunyah pop corn!
Diarahkan oleh pengarah yang sama dengan Hannah Montana, konsert ini dinobatkan The Best of Both Worlds Concert Tours. Sekiranya anda peminat fanatik Jonas Brothers, jangan lepaskan peluang untuk menonton filem Digital 3D terbitan Disney yang berdurasi 76 minit ini yang turut mengundang Demi Lovato dan Talor Swift sebagai bintang undangan dan berkolaborasi dengan band ini dalam sebuah lagu.
Kalau anda bukan peminat Jonas Brothers mungkin anda akan merasa bosan kerana tidak biasa dengan lagu-lagu mereka. Namun, Budiey kira lagu Jonas Brothers enak juga didengar sebab dia rancak dan catchy. Budiey pun hanya pernah dengar satu lagu sahaja. Nak buat camna, lagu tu je yang selalu keluar radio.
Kita juga dapat menonton klip-klip di belakang pentas saat-saat Jonas Brothers buat rehearsal dan yang menarik perhatian Budiey ialah grup ini dikejar oleh peminat sendiri. Ramai betul peminat mereka ni dan rata-ratanya adalah perempuan. Mungkin mereka terpikat dengan suara sengau-sengau basah dari vokalis grup ini.
Single terbaru Jonas Brothers juga turut dipersembahkan dalam filem yang dibuat pada 12 Julai di Anaheim, California di Honda Center, dan di Madison Square Garden, New York City pada 10 dan 11 April 2008. Biasalah kalau dah nama 3D sudah tentu banyak imej-imej yang mengujakan penonton. Ada scene bila grup adik beradik ini menyiram peminat mereka dengan air sabun dari pili bomba. Juga ada juga aksi mereka buat show di atas tiang tinggi. Tak gayat ke diorang nih?
Tetapi sayangnya, paparan dan klip untuk menceritakan bagaimana terciptanya grup ini dari awal penglibatan tidak disertakan. Ini mungkin dapat menjadi tarikan bagi peminat yang masih belum mengenali mereka. Yang ada hanya paparan fanatik kena histeria, ada yang menangis dan ada yang hampir pengsan bila dapat bertemu dengan bintang pujaan mereka. Fanatik giler!
Jonas Brothers adalah trio grup yang terdiri daripada Kevin, Joe dan Nick Jonas. Saksikan filem Digital 3D ini mulai 27 Februari 2009 di pawagam berdekatan.
Laman Web Rasmi: Jonas Brothers 3D Concert Experience