Pada 12 Februari 2009 lalu, Budiey telah menghadiri satu sidang media program terbaru NTV7 – Celebrity Karaoke di Red Box Ria, The Garden. Sebuah program TV yang berformat game show karaoke, memaparkan pelbagai lagak gaya artis popular kita bersaing menyanyikan lirik lagu Bahasa Melayu dan Inggeris yang betul dari pelbagai genre muzik.
Selebriti bergambar bersama Pengurus Besar NTV7 dan penerbit
Program yang diilhamkan dari rancangan popular antarabangsa, Karaoke Showdown ini akan bersiaran setiap Jumaat, 8.30 malam hingga 9.30 malam mulai 20 Februari 2009.
Program seperti ini sudah terkenal di Jerman, Rusia, Denmark, Bulgaria, Finland, Norway, Serbia, Vietnam dan Indonesia. Akan dihoskan oleh Nazrudin Rahman (Naz), program ini akan membariskan artis dan tema yang berbeza pada setiap minggu seperti Terbaik 1960-an, Terbaik 1970-an, Rock N Roll, Klasik, Hari Kekasih dan Istimewa Hari Ibu.
Antara artis yang hadir di sidang media pelancaran ialah Noryn Aziz, Mama Rina, Faizal Ismail, Datuk A. Rahman Hassan, Riezman Khuzaimi dan isterinya Kartina Ayob. Turut hadir ialah Pengurus Besar NTV7, Airin Zainul dan penerbit Celebrity Karaoke iaitu Azwan Sahamir.
Mama Rina suka warna merah jambu
Noryn Aziz kembali ceria
Faizal Ismail suka berkaraoke
Pasangan suami isteri Riezman Khuzaimi dan isterinya Kartina Ayob
Para media juga turut menyertai Karaoke Celebrity ini sebanyak dua pusingan game dan Budiey turut menyertainya. Hehe, dapat RM100! Selain itu, persembahan karaoke juga diadakan oleh semua rakan selebriti yang hadir.
Jangan lupa tonton program ini kerana ramai rakan artis yang menyertainya antaranya Ning Baizura, Ameng Spring, Zahid, Nita, Rem, Shamsul Ghau Ghau, Jefrey Din, Latif Ibrahim, Nadia Mustafar, Betty benafe, Zain Ruffedge, Cheryl Samad, Bob AF2, Datuk Jalaluddin Hassan, Atilia, Rohana Jalil, Tiar Jinbara, Ashid Def Gab C, Adi Sixth Sense, Royce Sayyan, Dia Fadilla, Dina, Ifa Raziah, Shikin Dangdut, Farah AF2 dan Farah Asyikin.
Hos program: Naz
Format Game Show:
Pada permulaan setiap episod, empat selebriti atau peserta akan dibahagikan kepada dua pasukan. Di setiap pusingan, pasukan berkenaan akan mengambil giliran untuk memilih sebuah lagu dari lima kategori. Penonton akan menyanyikan lagu dari kategori berkenaan pada monitor studio. Berbekalkan lagu intrumental yang berkumandang di alat pendengar pada telinga mereka, individu tersebut akan cuba untuk mendendangkan lirik berkenaan di hadapan skrin. Namun, pasukan yang bertanding tidak akan berpeluang mendengar nada sebenar lagu tersebut – kecuali suara individu dan perkataan yang cuba dinyanyikan. Seterusnya, kedua-dua kumpulan harus bersaing untuk meneka judul lagu tersebut. Pasukan yang terdahulu menekan buzzer akan diberi peluang untuk menyanyikan satu bahagian dari lagu itu dan akan diberi markah sekiranya betul. Jika salah, markah dan peluang itu akan diberikan kepada pihak lawan.
Di pusingan akhir, setiap pasukan akan berpeluang menyanyikan sebuah lagu dengan gaya karaoke tersendiri. Namun begitu, akan ada 10 perkataan dalam lirik yang akan diubah dan cabaran mereka adalah menyanyikannya dengan betul, dan setiap lirik yang dinyanyikan dengan tepat akan diberi markah. Markah dari tiga kategori dan pusingan terakhir akan dikira dan pemenang akan memenangi hadiah menarik setiap minggu.
Mama Rina bergelek…
Sedang berkaraoke
Bersama penaja