ASK 2012 MERAIH 4 JUTA PENONTON!
Anugerah Skrin 2012 (ASK 2012), anugerah paling berprestij dekad ini telah menyaksikan kemenangan besar drama ‘Di Telapak Kaki Bonda’ terbitan Filmscape Sdn Bhd di bawah arahan Kabir Bhatia yang menggondol 4 anugerah utama iaitu Drama Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon TV Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama di samping meraikan Bunohan sebagai Filem Terbaik.
Belum pun reda bahang kehangatan ASK 2012 yang berlangsung pada Jumaat malam lalu, stesen televisyen swasta nombor satu Negara, TV3 berjaya meraih jumlah penonton tertinggi (peak) sebanyak 4 juta (17.1 TVR) atau 54% syer penonton (sumber: Nielsen Media Research) sewaktu tayangan ASK 2012 secara langsung, bermula dari jam 9.00 malam hingga 12.00 tengah malam. Program ‘Fantasi ASK 2012’ yang memaparkan detik-detik persiapan Anugerah Skrin 2012 dan kemeriahan Jelajah ASK 2012 pada 9 November 2012 dari jam 4.30 petang hingga 5.00 petang juga mencecah kadar tontonan sehingga 1 juta penonton sewaktu bersiaran.
Utuh memasuki musim yang ke-14, Anugerah Skrin 2012 (ASK 2012) merupakan antara majlis terunggul di dalam lipatan sejarah industri tanah air yang sentiasa ditunggu-tunggu penganjurannya saban tahun. Tahun ini, ASK 2012 telah mengangkat ‘Selami Dunia Fantasi Kami’ (Fairy Tale) dan menyuntik elemen teater dalam konsep persembahan malam anugerah itu.
Bukan saja cemerlang meraih kadar tontonan tinggi di kaca televisyen, malah ASK 2012 juga dipancarkan menerusi laman web rasmi www.tv3.com.my/ask2012. Rekod menunjukkan seramai 64,000 menonton ASK2012 dan ’esklusif Red Carpet’ secara langsung menerusi online. Jumlah ini juga merupakan kenaikan sebanyak 28% berbanding dengan tahun 2011. Antara aplikasi menarik tahun ini, penonton boleh memilih skrin mana yang ingin ditonton untuk mengikuti suasana pada sebelum dan sewaktu Anugerah Skrin berlangsung sama ada ’Video Streaming di pintu masuk’, ’Red Carpet’, ’Malam Anugerah’ atau ’Thank You Cam’. Dengan itu, hampir 20% penonton dicatatkan terdiri daripada pelayar-pelayar web dari luar negara seperti Singapura, Australia, Amerika Syarikat dan Brunei Darussalam.
ASK2012 juga berjaya mendapat hampir 200,000 pelayar mengikuti perkembangan terkini melalui laman rasmi hanya pada malam Anugerah tersebut. Laman sosial Twitter dengan #ASK2012 bukan sahaja ’trending’ di Malaysia malah ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sehingga berjaya mendapat tempat ke 8 secara global (worldwide). Sehingga hari ini, hampir 40,000 telah menonton catch up ASK2012 di www.tonton.com.my.
Menurut En. Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, “Setelah berbulan membuat persiapan, dengan keringat dan penat lelah tenaga kerja ASK 2012 dalam merealisasikan dunia fantasi, TV3 telah berjaya membawakan satu kelainan untuk dikongsikan bersama dan menjadikannya sebuah acara tahunan yang penuh gemilang. Sentiasa menjanjikan yang terbaik dan berani memecah tradisi, TV3 menyuntikkan elemen teater dalam pengendalian majlis anugerah yang pertama kali dipertontonkan. Saya bagi pihak TV3 ingin memberikan penghargaan atas kerjasama semua pihak yang terlibat, produksi, artis-artis, pengurusan jenama, program-program terbitan dalaman, Pantene selaku penaja utama, radio rasmi Hot FM, rakan-rakan penyiaran dan para media yang sentiasa menyokong usaha kami ini dan ASK 2012 keseluruhannya.”
”ASK 2012 bukan hanya meraikan para penggiat dan karyawan seni tanah air malah ianya juga sebagai batu loncatan bagi mereka yang memenangi anugerah tersebut untuk terus maju ke hadapan. Selain itu, maklum balas yang diterima daripada para penonton bakal menyuntik semangat kepada kami untuk terus berusaha lebih gigih untuk menerbitkan produk yang lebih bermutu pada masa akan datang,” ujar En. Ahmad Izham Omar lagi.
Tahun ini, pengacara TV yang sudah tidak asing lagi, Awal Ashaari bergandingan dengan pelakon wanita popular, Neelofa bersama Dato’ Rahim Razali, Datin Paduka Umie Aida, Harun Salim Bachik dan Abon untuk mengemudikan majlis penganugerahan manakala acara karpet merah dikendalikan oleh pasangan Dynas dan Karl Shafek bersama Juara Pencarian Hos Pantene Anugerah Skrin Musim Ke-2, Muhammad Fadzil Ahmad Shukor.
ASK 2012 menggunakan pendekatan ”storytelling within an event” menggambarkan Anugerah Skrin 2012 sebagai sebuah majlis penghargaan karyawan seni yang berlangsung di dalam istana. Menerusi persembahan teater yang mengisahkan cinta terlarang antara Puteri Anastasia (Rita Rudaini) dan Putera Arjuna (Adi Putra) yang disampaikan oleh Nenek Kebayan (Datin Paduka Umie Aida), pentas ASK 2012 diwarnai pelbagai watak popular daripada kisah dongeng dan lagenda.
Secara keseluruhan, Anugerah Skrin 2012 telah mempertandingkan 23 kategori meliputi drama, filem dan penerbitan dalaman serta 2 Anugerah Khas iaitu Anugerah Yasmin Ahmad dan Anugerah Artis Harapan Pantene. Tenaga penerbitan Anugerah Skrin 2012 diketuai oleh Puan Roslina Abdul Rahman selaku penerbit. Layari laman sesawang serta Facebook & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini.