Pelakon drama, Muhaizad Ahmad Mustapha atau lebih dikenali sebagai Ako, hari ini menafikan waran tangkap akan dikeluarkan terhadapnya atas kesalahan khalwat yang dilakukan pada tahun 2007 dengan seorang wanita bukan Islam. Menurut Ako, dia telah pun menelefon pihak mahkamah dan berbincang mengenai perkara tersebut.
“Tak ada waran tangkap akan dikeluarkan dalam masa terdekat atau pun satu dua hari ini. Saya dah telefon pihak mahkamah pagi tadi dan beri sebab mengapa saya tidak boleh hadir pada perbicaraan kes terbabit. Pihak mahkamah telah menerima sebab yang dikemukakan dan mereka telah bersetuju tidak mengeluarkan waran tangkap ke atas saya,” katanya kepada mStar Online hari ini.
Pelakon berusia 37 tahun itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai waran tangkap yang akan dikeluarkan ke atasnya akibat gagal menghadirkan diri ke mahkamah walaupun tiga notis saman telah diserahkan kepadanya. Hakim Syarie Mahkamah Gombak Timur, Wan Mahyuddin Wan Muhamad semalam menetapkan 3 Mac depan bagi kes itu disebut semula dan pertuduhan akan dibacakan kepada Ako.
Ako didakwa berkhalwat dengan seorang wanita bukan Islam, Anang Sagunting, 24, di pangsapuri Blok B-2-9, Oakleaf Park Kondominium, Persiaran Bukit Jaya, Bukit Antarabangsa dekat sini pukul 1.30 pagi 27 Jun 2007.
Jelas pelakon yang baru sahaja bernikah dengan seorang gadis Sabah, Kartina Abdullah enam hari yang lalu turut menjelaskan yang dia bukan sengaja tidak menghadirkan diri ke mahkamah sebaliknya dia terikat dengan jadual penggambaran drama yang sangat padat lewat kebelakangan ini.- mstaronline