SLOT REALITI : SUPER SOCCER STAR MALAYSIA ,SETIAP RABU, JAM 8.00 MALAM DI TV2
Khas untuk peminat setia bola sepak, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mempersembahkan sebuah rancangan realiti sukan bolasepak yang terhebat di Malaysia, Super Soccer Star Malaysia (SSSM) yang ditayangkan pada setiap hari Rabu, jam 8.00 malam di Saluran Dunia Ria, TV2.
Alif Satar sebagai hos program
Program mengisi slot Realiti ini menampilkan Aliff Satar setiap minggu sebagai pengacara sepanjang 10 episod SSSM berlangsung. Malah menariknya turut mengundang selebriti terkenal seperti Fahrin Ahmad, Intan Ladyana, Mila, Zahid dan Aidil, Zain Ruffedge, Danny X-Factor, Kaza, Jesse Lim, Shawal, Faizal Yusof dan Syed Aiman memeriahkan lagi program ini.
SSSM mengekalkan format rancangan hakmilik syarikat hiburan British, Galleon Entertainment PLC, London dan merupakan satu-satunya program TV realiti yang pertama di Malaysia yang bakal merealisasikan impian remaja Malaysia untuk berkongsi pengalaman berlatih dengan Akademi Latihan Chelsea FC di London.
Program terbitan bersama Nafalia Corporation Sdn Bhd dengan kerjasama Galleon Holdings PLC, United Kingdom ini bertujuan untuk membawa rancangan bola sepak ini ke Malaysia setelah mendapat sambutan hangat di China tahun lepas. Chelsea FC merupakan rakan sedunia rasmi bagi ’Super Soccer Star’ manakala Samsung, penaja kelab utama pasukan ’Blues’ merupakan penaja utama rancangan realiti terbaru ini.
SSSM yang mengisi Slot Realiti ini akan mencungkil bakat remaja yang berumur di antara 13 dan 16 tahun yang mempunyai minat mendalam terhadap bolasepak. Sepanjang pencarian bakat Super Soccer Star, ianya telah berjaya menarik minat hampir 5,000 pemohonan remaja Malaysia yang ingin menunjukkan bakat terpendam mereka untuk membolehkan mereka melayakkan diri dalam program Realiti TV ini.
Program yang telah memulakan siarannya pada 7 Januari lalu menawarkan peluang sekali seumur hidup kepada empat finalis yang terpilih dari 20 peserta Akademi SSSM untuk pergi ke Akademi Latihan Chelsea FC di London untuk penilaian lengkap di bawah penyeliaan kakitangan jurulatih kelab tersebut. Seorang bintang SSSM yang terpilih pada episod ke 13 akan kembali ke London dan berhadapan dengan jurulatih Akademi Latihan Chelsea FC, United Kingdom dan bakal melalui percubaan rasmi di sana kelak bersama-sama jurulatih kelab tersebut.
Pastikan anda tidak melepaskan peluang untuk menonton ”Super Soccer Star Malaysia” yang akan bersiaran sebanyak 10 episod untuk mengetahui siapakah yang bakal mewakili Malaysia ke Akademik Latihan Chelsea pada setiap hari Rabu, jam 8.00 malam hanya di TV2.