Drama Ikatan Lakonan Iqram Dinzly dan Ayu Raudah Dalam Slot Citra di TV2
“Ikatan” seringkali dikaitkan dengan hubungan persaudaraan, persahabatan, percintaan dan apa jua bentuk hubungan yang terbina antara seorang individu dengan individu yang lain. Ianya lebih menarik bila ikatan-ikatan tersebut disatukan dan dikembangkan dalam sebuah telemovie bertajuk “Ikatan” yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 25 September 2012, jam 10.00 malam.
Mengisi slot Citra di TV2, drama menggandingkan watak utama Iqram Dinzly dan Ayu Raudah di samping Hilal Azman, Liza Abdullah dan Rahhim Omar ini mengisahkan persahabatan yang terjalin antara Noraini dan Fariz yang bersahabat sejak kecil patahlagi kedua ibu bapa mereka juga bersahabat baik. Namun takdir memisahkan mereka apabila bapa Fariz dihantar bertugas ke tempat kerja baru. Sebagai kenangan perpisahan, Noraini memberikan hadiah kepada Fariz. Fariz yang tidak memberikan hadiah semasa perpisahan tersebut berjanji untuk membalas hadiah Noraini apabila mereka bertemu semula. Perpisahan dan janji-janji tersebut diabadikan dalam sebuah portrait oleh bapa Fariz.
Noraini dan Fariz tidak pernah bertemu semula selepas itu sehinggalah 22 tahun kemudian. Ketika itu kehidupan Noraini penuh cabaran dan rintangan setelah dipisahkan keluarga kerana berkahwin tanpa restu ibubapa. Noraini yang bekerja sebagai penyelia kilang juga telah berpisah dengan suaminya, Rostam apabila suaminya dipenjara kerana menyamun.
Fariz pula menjadi seorang akitek yang berjaya dan memiliki cinta hatinya sendiri bernama Suraya. Fariz sibuk melayan kekasihnya dan ketika melihat gambar-gambar lama bersama-sama Suraya, Suraya terjumpa sekeping gambar Fariz semasa zaman kanak-kanak bersama seorang kanak-kanak perempuan. Ibu Fariz menceritakan kepada Suraya dan Fariz kisah di sebalik potret tersebut. Fariz menyimpan gambar tersebut, bertujuan untuk mencari dan menunaikan janjinya kepada ‘Baby’.
Kehidupan Noraini nampak cerah apabila ia ditawarkan bekerja sebagai pembantu kerani akaun oleh syarikat tempat ia bekerja, namun kesihatan anaknya Azam yang disahkan mengidap penyakit buah pinggang membantutkan usaha tersebut. Dia terpaksa kerap meminta cuti dari majikannya. Lebih mendesak, kos rawatan yang tinggi juga memaksa Noraini meminjam wang dari rakan sekerja.
Rakan sekerja Noraini membantu mengumpul dana di kilang tempat mereka bekerja, namun jumlah kutipan terlalu sedikit. Bagi membantu Noraini, pihak kilang mencadangkan Noraini mendapatkan bantuan akhbar. Walaupun agak keberatan, namun demi kesihatan anaknya Noraini bersetuju. Apabila cerita Noraini keluar diakhbar, ia mendapat reaksi baik dari orang ramai. Ramai yang tampil menderma termasuk Fariz. Fariz tidak mengenali Noraini tetapi mengecam muka Noraini yang dilanggarnya di laluan pejalan kaki hospital, ketika Azam pertama kali dikejarkan ke hospital. Ketika itu Fariz berada di hospital untuk bertemu rakan baiknya Dr. Daud.
Ibu Noraini yang telah berpisah dengan anaknya semenjak Noraini berkahwin lari dengan Rostam turut membaca cerita Noraini di dalam akhbar. Kasihan terhadap nasib Noraini, Radziyah telah menghubungi dan membantu Noraini tanpa pengetahuan suaminya.
Konflik berlaku bila Rostam yang baru sahaja keluar dari penjara juga terbaca cerita Noraini. Dia mahu membalas dendam kerana Noraini melarikan diri bersama anaknya 3 tahun lalu. Rostam mula mengintip segala pergerakan Noraini. Ketika Noraini baru sahaja keluar dari bank, begnya telah diragut. Rostam datang membantu Noraini dan cuba berbaik-baik semula dengan Noraini. Noraini tidak tahu bahawa Rostamlah perancang semua itu dengan rakan-rakannya.
Lalu apakah penyudahnya? Dapatkah Noraini mengharungi cabaran hidup yang merintang di hadapannya? Bagaimana pula kesudahan episod cinta antara Fariz dan Suraya akibat salah faham yang tidak dapat dielakkan?