FREEPORT: John Travolta dan isteri, Kelly Preston dilaporkan amat sedih dengan kematian anak lelaki mereka Jett, 16, yang sakit kronik, selepas terjatuh di rumah percutian keluarga terbabit di Grand Bahama.
Pesuruhjaya polis, Basil Rahming berkata seorang penjaga rumah menemui Jett Travolta (gambar) tidak sedarkan diri dalam bilik mandi Jumaat lalu dan disahkan meninggal dunia di sebuah hospital Freeport. Remaja itu kali terakhir dilihat memasuki bilik mandi pada Khamis, kata polis.
“Kami sedih kerana waktu kami bersamanya terlalu pendek. Kami akan menghargai masa yang ada bersamanya sepanjang hidup kami,” kata Travolta dan Preston dalam kenyataan pertama mereka sejak kematian Jett.