Masterchef Malaysia kembali untuk musim kedua
Astro Ria bakal siar sesi ujibakat bermula 8 September
MasterChef Malaysia ternyata telah mencipta fenomenanya yang tersendiri. Sejarah yang dilakar oleh seorang doktor gigi, Dr Ezani Farhana Md Monoto sebagai juara MasterChef Malaysia yang pertama pastinya masih segar dalam ingatan peminat rancangan realiti masakan ini. Bertitik tolak daripada kejayaan dan sambutan hebat ini, Astro berbesar hati membawakan kembali MasterChef Malaysia untuk musim kedua yang akan mula bersiaran di Astro Ria (Saluran 104) pada 8 September 2012, Sabtu, tepat jam 7.30 malam.
Bertemakan ‘Dapur’ Malaysia ke Persada Dunia, MasterChef Malaysia musim kedua bakal memfokuskan kepada penyediaan masakan tempatan dan memartabatkan makanan Malaysia ke peringkat antarabangsa. Pada masa yang sama, program realiti masakan ini masih memberikan inspirasi dan peluang kepada para peserta mencungkil bakat mereka dalam bidang masakan dan dilatih oleh mereka yang berpengalaman dalam dunia masakan.
Mereka adalah Chef Johari Edrus atau lebih dikenali sebagai Papa Joe dan Chef Zubir Md Zain yang merupakan juri untuk musim lalu. Selain itu, Chef Adu Amran yang pernah muncul di MasterChef Selebriti Malaysia juga akan bertindak selaku juri di MasterChef Malaysia musim kedua ini. Tiga orang chef berpengalaman dalam penyedian makanan di peringkat tempatan dan antarabangsa ini bakal menilai masakan peserta sepanjang musim ini.
Pengurus Saluran Astro RIA, Encik Raqim Ahmad berkata, “Astro Ria amat berbesar hati kerana telah merealisasikan impian rakyat Malaysia untuk merasai pengalaman menonton program realiti masakan MasterChef Malaysia. Sambutan yang diterima MasterChef Malaysia musim pertama dan MasterChef Selebriti baru-baru ini ternyata telah menunjukkan fenomena luar biasa yang berlaku di kalangan penonton negara ini. Kedua-dua program ini telah muncul sebagai pilihan utama penonton sepanjang ditayangkan di saluran ini.
Sebagai sebuah saluran hiburan Melayu unggul yang menawarkan hanya program-program menarik, Astro Ria amat berbangga kerana bakal menayangkan kembali sebuah program yang dinantikan oleh rakyat Malaysia ini. Melihat daripada peningkatan jumlah peserta yang terlibat dalam sesi ujibakat yang berakhir pada bulan Jun yang lalu, kami turut menjangkakan enam episod ujibakat dan 66 episod seterusnya ini bakal menerima sambutan yang lebih hebat daripada musim pertama.”
Pihak produksi terlebih dahulu mengunjungi enam buah negeri iaitu Sarawak, Sabah, Pahang, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. untuk mengenal pasti calon peserta yang dilihat layak untuk menyertai MasterChef Malaysia musim yang kedua ini.
Selepas enam episod menyiarkan sesi ujibakat yang bermula 8 September ini dan enam episod cabaran Bootcamp, seramai 24 peserta akan berjuang di MasterChef Malaysia musim kedua. Sebanyak enam program akan ditayangkan selama seminggu iaitu Peti Saji Misteri & Ujian Cipta Rasa (Sabtu), Ujian Sajian Pantas dan Penyingkiran (Ahad), Cabaran Chef Undangan (Isnin), Cabaran Sajian Luar (Selasa), Ujian Rasa dan Penyingkiran (Rabu) dan Kuliah Master (Khamis).
“Pihak Astro juga berbesar hati ingin mengumumkan bahawa Juara MasterChef Malaysia musim kedua bakal memenangi wang tunai RM100,000 dan berpeluang untuk tampil di pelbagai program yang akan diaturkan pihak Astro kelak. Sementara itu, kami juga mengalu-alukan kehadiran pihak Panasonic Cooking Magic sebagai penaja utama dan MyChef sebagai penaja bersama.
Jangan lupa menyaksikan MasterChef Malaysia untuk musim kedua yang akan mula bersiaran di Astro Ria (Saluran 104) pada 8 September 2012 tepat jam 7.30 malam dengan episod ujibakat di enam lokasi seluruh negara!